Tijjani Reijnders mengakui faktor wang menjadi antara sebab utama dia memilih untuk meninggalkan Manchester City dan menyertai kelab Arab Saudi, Al-Qadsiah.

Dia menerima kalau ada pihak yang melabel dia mata duitan punca dia menyertai Liga Saudi.

Pemain tengah Belanda berusia 28 tahun itu membuat perpindahan mengejut pada musim panas ini selepas hanya semusim bersama City. Al-Qadsiah membayar sekitar €61 juta (RM282 juta) untuk mendapatkan khidmatnya.

Dalam temu bual bersama NOS, Reijnders secara terbuka mengakui dia tidak boleh menafikan dakwaan bahawa dirinya memilih Arab Saudi kerana wang.

Apabila ditanya mengenai tanggapan bahawa dia kini seorang “mata duita”, Reijnders menjawab secara terus terang bahawa dia tidak boleh menafikannya.

“Kalau gaji yang ditawarkan begitu tinggi, cuba kata tidak kepada jumlah itu sebagai pemain atau sebagai manusia.

“Kita boleh berlagak sebagai orang yang sangat bermoral dan mengatakan kita tidak akan melakukannya, tetapi saya rasa kebanyakan orang akan berkata ya,” katanya.

Reijnders dilaporkan akan memperoleh lebih €100 juta (sekitar RM463 juta) sepanjang tempoh empat tahun di Al-Qadsiah.

Dia turut menjelaskan bahawa faktor kewangan bukan satu-satunya sebab perpindahan tersebut.

Menurutnya, dia tidak begitu gembira dengan peranan yang dimainkan di Manchester City.

Reijnders melihat dirinya sebagai pemain tengah nombor lapan yang dinamik, tetapi di City dia semakin banyak digunakan sebagai pemain nombor 10.

Beberapa kelab Eropah termasuk Atletico Madrid dan Juventus turut menunjukkan minat, namun mereka tidak mampu memenuhi tuntutan kewangan City. Al-Qadsiah pula bersedia membayar harga yang diminta.

Reijnders berkata perbincangannya dengan pengurus Al-Qadsiah, Brendan Rodgers, turut mengubah pandangannya terhadap perpindahan ke Arab Saudi.

Dia percaya kariernya di Eropah masih belum berakhir dan menyasarkan untuk kembali ke Eropah selepas beberapa tahun di Arab Saudi.

“Saya mahu selepas karier bola sepak nanti tidak perlu bekerja lagi. Saya sudah tidak perlu bekerja selepas meninggalkan City, tetapi sekarang saya juga boleh memastikan generasi selepas saya hidup dengan baik.

“Kalau dengan keputusan ini cucu-cucu saya juga boleh hidup dengan baik, kenapa saya tidak patut melakukannya?” katanya.

Reijnders kini sudah menjaringkan tiga gol dalam lima penampilan awalnya bersama Al-Qadsiah dan percaya tahap Saudi Pro League tidak boleh dipandang rendah. Malah, dia menganggap liga tersebut kini mempunyai tahap yang lebih tinggi berbanding Eredivisie di Belanda.