Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif, menyatakan harga tiket bagi Grand Prix Bahrain Gulf Air yang bakal dianjurkan oleh Litar Sepang (SIC) pada 2 hingga 4 Oktober dijangka agak tinggi.

Menurut beliau, SIC tidak mempunyai kuasa untuk menetapkan harga tiket bagi GP berkenaan, petik New Straits Times.

“Kami kini sedang bekerjasama dengan pihak Bahrain berhubung harga tiket dan berharap dapat mengumumkannya secepat mungkin,” kata Shafriman dalam satu sidang media di sini hari ini.

“Berdasarkan perbincangan awal, kesemua hasil jualan tiket akan diserahkan kembali kepada Bahrain, jadi kami tidak mempunyai kuasa mutlak ke atas penentuan harga tiket.

“Sukar untuk tiket dijual pada harga di bawah RM100 seperti yang mampu kami lakukan bagi MotoGP (Grand Prix Malaysia Petronas).

“Saya tahu ramai rakyat Malaysia inginkan harga tiket F1 yang berpatutan. Saya akan berusaha sedaya upaya untuk (mendapatkan harga yang berpatutan) semasa berunding dengan pihak Bahrain.

“Mungkin kami boleh cuba mendapatkan harga istimewa bagi pemegang MyKad.”

Dalam pada itu, Shafriman menjangkakan tiket akan mula dijual seawal minggu pertama bulan depan.