Indonesia telah dihukum oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) susulan tindakan penyokong yang melakukan serangan diskriminasi terhadap skuad Bahrain pada aksi 25 Mac lalu.
Menurut sumber laporan CNN Indonesia, perkara tersebut telah disahkan oleh Exco Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Arya Sinulingga.
Baca Juga:
- Erick Thohir Mahu Indonesia Uji Harimau Malaya, ‘Dah Rindu Nak Lawan Malaysia’
- Media Indonesia Anggap Calon Pemain Warisan Malaysia Tidak Setaraf Pemain Mereka
- ‘Dah Ada Aguero Pun Bola Sepak Kamu Tidak Maju’ – Media Indonesia Kepada Malaysia
Arya mendedahkan bahawa pihak PSSI sudah menerima surat daripada FIFA semalam dimana dua hukuman telah diberikan.
Hukuman Buat Indonesia
Hukuman yang dimaksudkan ialah denda sebanyak $25,000 (RM107,427.84) dan aksi bertemu China nanti, PSSI perlu menutup 15 peratus daripada tempat duduk stadium terutamanya di kawasan belakang pintu gol.
FIFA membenarkan 15 peratus kawasan itu diisi oleh penyokong tetapi dengan syarat kawasan tersebut diberikan kepada komuniti anti-diskriminasi seperti keluarga pemain, pelajar sekolah atau universiti serta wanita.
Dalam pada itu, mereka perlu meletakkan sepanduk berkenaan anti-diskriminasi di kawasan tersebut.
Cadangan untuk meletakkan siapa di kawasan tersebut perlu ditunjukkan ke pihak FIFA kira-kira 10 hari sebelum hari perlawanan.
Dua hukuman itu diberikan kepada Indonesia selepas 200 hingga 300 penyokong skuad Garuda melaungkan kata-kata berbaur kebencian terhadap Bahrain ketika aksi memasuki minit ke-80.
Skuad kendalian Patrick Kluivert itu akan menghadapi China di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada 5 Jun nanti dalam usaha untuk mara ke pusingan keempat Kelayakan Piala Dunia 2026.
Selepas mengharungi lapan perlawanan, skuad Garuda berada di kedudukan keempat dengan sembilan mata, hanya kekurangan satu mata dibelakang Arab Saudi.