Nampaknya katalog kasut Louis Vuitton di bawah arahan Pharrell Williams terus mencedok inspirasi daripada dunia sukan papan selaju (skateboarding), dan rekaan terbaharu mereka ini baru sahaja menarik perhatian jenama kasut ikonik, Vans.
Baru-baru ini, Pharrell telah memperlihatkan model Louis Vuitton SS27 Combi, sebuah siluet kasut potongan rendah di bawah jenama fesyen Perancis tersebut yang sangat berinspirasikan gaya kasut skate.

Kasut ini tampil mewah dengan kemasan tekstur buaya berwarna merah, tapak gaya vulcanized yang leper, tali kasut putih yang kontras, lubang tali kasut metalik, serta perkakasan emas berjenama Louis Vuitton pada bahagian lidah dan tumit kasut.
Dengan bentuknya yang ringkas, potongan rendah dan profil seakan kasut papan selaju yang klasik, rekaan ini dengan pantas disamakan oleh netizen dengan kasut *skate* biasa.
Menariknya, Vans juga menyedari persamaan tersebut. Selepas gambar kasut berkenaan mula tular di media sosial, akaun Instagram rasmi Vans telah meninggalkan komen ringkas berbunyi, “ohhhh bet” pada hantaran mengenainya.

Walaupun ia bukanlah satu kenyataan rasmi yang memanjangkan isu, komen ‘sinis’ itu sudah cukup untuk menghangatkan perbualan netizen tentang bagaimana label fesyen mewah terus meminjam identiti rekaan daripada kasut skate.
“Sangat Vans.”
“Adakah mereka akan buat versi mampu milik?.”
“Lah ini bukan Vans ke?, Saya ingatkan Vans asli.”
“Boleh nampak dari jauh ini adalah rekaan Vans,” demikian komentar yang diberikan oleh sejumlah netizen global.
Reaksi ini sebenarnya sangat bertepatan dengan trend fesyen semasa. Kasut berinspirasikan skate telah menjadi tema berulang dalam arena fesyen mewah untuk beberapa musim kebelakangan ini.
Rumah-rumah fesyen besar dilihat kerap meminjam elemen-elemen yang sudah lama sinonim dengan kasut skate harian, seperti kolar kasut yang tebal berpad, tapak leper, binaan tali kasut yang ringkas, serta susunan panel yang biasa dilihat.
Rekaan Pharrell di Louis Vuitton sememangnya sering bermain dengan rujukan tersebut, yang turut berkait rapat dengan sejarah peribadi beliau bersama budaya skate dan fesyen jalanan (streetwear).
Bagi anda yang berminat, model Louis Vuitton SS27 Combi ini dijangka akan dilancarkan pada tahun 2027, walaupun butiran penuh pelancaran, tanda harga, dan ketersediaannya masih belum disahkan.
Buat masa ini, kasut tersebut telah berjaya melakukan apa yang sepatutnya dilakukan oleh mana-mana kasut runway mencetuskan reaksi dan tular sebelum ia mula memijak lantai kedai.
Sama ada rekaan akhir ini bakal menjadi sebuah kasut skate mewah secara terus atau sekadar satu lagi eksperimen fesyen LV yang diketuai Pharrell, komen balas daripada Vans telah berjaya membuatkan perbualan mengenainya bertambah rancak.
Apa pendapat korang? Adakah ia memang nampak macam kasut Vans yang diberi nafas mewah?