Walaupun sibuk menjawat jawatan doktor gigi di sebuah hospital di Putatan, Sabah Dr. Nur Munirah Mohd Nor telah berjaya menjadi naib johan bagi kategori hafazan 20 juzuk dalam Majlis Musabaqah Menghafaz Al-Quran Al-Karim Kerajaan Hasyimiah Kali Ke-10 di Amman, Jordan yang berlangsung pada 20 hingga 25 April lalu.
Gambar Utusan/Zaki Amiruddin
Perjuangannya memartabatkan al-Quran dipermudahkan meskipun sibuk dengan tugas yang memerlukan komitmen tinggi. Ini bukanlah penyertaan kali pertama baginya dalam pertandingan seumpama ini. Sebelum ini dia pernah menjuarai pertandingan menghafaz al-Quran peringkat negeri pada Februari 2015 dan mewakili Kelantan ke Majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan pada Mac lalu di Shah Alam, Selangor.
Di dalam pertandingan di Jordan, Dr Nur Munirah berjaya menewaskan 10 peserta lain bagi kategori tersebut. Dia tetap bersyukur walaupun mendapat tempat kedua dan gembira berjaya mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa dalam bidang hafazan al-Quran selepas dia diberi kepercayaan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menyertai pertandingan ini. Pemilihannya ke Jordan adalah berdasarkan kejayaannya muncul naib johan peringkat kebangsaan pada tahun lalu bagi kategori hafazan 30 juzuk.
Rahsia Menghafaz al-Quran Dr. Nur Munirah Mohd. Nor
1. Ibu bapa telah mengajarnya mengenal al-Quran sejak kecil lagi.
“Saya membaca al-Quran sejak berusia enam tahun dan mula menghafal ketika berusia 13 tahun.” katanya kepada wartawan Utusan Malaysia.
2. Tidak jemu menghafal al-Quran setiap hari.
3. Tidak merasakan menghafal al-Quran itu satu beban, malah rutin itu menyebabkan dia mudah untuk melakukan sebarang urusan kerja.
4. Tidak mengamalkan sebarang pantang larang dari segi makanan. Makan selagi ianya halal.
5. Jaga mata.
6. Jaga pergaulan dengan rakan-rakan.
7. Ibunya, Wan Khatijah Wan Adam memupuk minat Dr. Nur Munirah dengan cara memasang kaset alunan bacaan qari-qari ternama sejak dia kecil lagi.
8. Semasa di Kelantan Nur Munirah juga pernah belajar menghafal al-Quran dengan seorang ustaz di Tumpat.
9. Ibu bapanya mendidik dia dan 7 adik-beradiknya yang lain mencintai dan menghafaz al-Quran sejak mereka kecil.
10. Berusaha sehingga mampu menghafal 30 juzuk al-Quran merangkumi 114 surah dan 6,236 ayat dalam kitab suci berkenaan.
11. Minat mengatasi segala halangan dan kesukaran menghafaz.
Beliau adalah satu-satunya peserta dari Malaysia yang menyertai pertandingan itu yang mendapat penyertaan daripada 35 negara. Kemenangan dalam pertandingan tersebut membolehkan Nur Munirah membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM8,000 berserta sijil dan plak.
“Persaingan memang sengit kerana peserta dari negara Arab sudah tentu mempunyai kekuatan dari segi tajwid dan al-Quran itu sendiri adalah dalam bahasa Arab.” katanya kepada wartawan Harian Metro.
Sumber: Harian Metro, Utusan Malaysia, Utusan 2