Setiap negara mempunyai dasar masing-masing dalam menentukan ketegori sesebuah hotel.
Begitu juga di Turki yang mana setiap hotel perlu didaftarkan di bawah Kementerian Budaya & Pelancongan (T.C. Kültür ve Türizm Bakanlığı) dan disemak serta dikategorikan mengikut tahap piawaian yang diperlukan oleh Kementerian Pelancongan (T.C Türizm Bakanlığı).
Sesetengah hotel berskala kecil (hostel/homestay dll) pula didaftarkan di bawah Majlis Perbandaran tempatan yang berautoriti.
Mereka juga perlu menyediakan perkhidmatan mengikut piawaian minima dan dari situ mereka akan diperiksa dari semasa ke semasa untuk memastikan setiap dari mereka mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.
Hampir kesemua hotel di Turki menggunakan sistem pembayaran mengikut jumlah orang (per pax) dan bukan mengikut jumlah bilik yang ingin disewa.
Jadi di sini, kami dari Jejak Uthmaniyyah Tour & Consultancy ingin memberitahu anda apa yang boleh anda harapkan bila memilih salah satu hotel-hotel di Turki mengikut taraf bintang dan kategori hotel tersebut.
1. Hotel Bertaraf ‘S’
Hotel yang dikategorikan sebagai ‘S’ di Turki adalah unik dan kadang-kadang ia boleh mengelirukan,
Macam hotel 4 bintang tapi takde pula mention berapa bintang dalam hotel ni. Ermmm.
‘S’ di sini merujuk kepada Special Class atau Hotel Bertaraf Istimewa yang biasanya bangunan hotel tersebut adalah bangunan lama (hartanah) bersejarah yang telah dipulihara atau Hotel Butik baru yang mempunyai unsur-unsur tradisional Turki dan sebagainya di dalamnya.
Hotel jenis ini tidak diklasifikasikan dengan sebarang taraf bintang disebabkan mempunyai kekangan di dalam membesarkan struktur bangunan, kuantiti bilik hotel yang terhad dan sebagainya. Tetapi dari segi kemudahan asas dan keluasan bilik hotel adalah standard antara hotel 4 ke 5 bintang.
Namun begitu, tidak bermakna hotel bertaraf ‘S’ ini menyediakan perkhidmatan yang lebih rendah dan kurang berkualiti daripada hotel bertaraf bintang tetapi mereka dikategorikan dengan kelas tersendiri.
Antara Boutique Hotel yang superb pada pandangan kami :
1. Ottoman’s Life Hotel di Fatih, Istanbul
2. Goldern Horn Deluxe di Sultanahmet, Istanbul
3. Bursa Kitapevi, Bursa
4. Göreme Inn Hotel di Göreme, Cappadocia
2. Hotel Bertaraf Satu Bintang (*)
Hotel jenis ini biasanya sering dicari-cari oleh para pengembara yang mempunyai bajet yang rendah. Selalunya di Turki, rate nya sekitar 35 – 60 TRY (turkish lira) bersamaan dengan 45 – 85 RM (ringgit malaysia) per pax.
Kategori hotel satu bintang di sini kebanyakannya adalah simple tetapi menarik. Mereka menyediakan kemudahan paling asas sahaja (tuala, tandas, tempat mandi, TV dll.) dan WiFi juga disediakan, kalau tidak ada tu memang anda kurang bernasib baik dan cuba cari hotel yang lain.
Tolong dan tolong pastikan anda semak dahulu perkhidmatan yang mereka sediakan beserta testimoni pelanggan-pelanggan yang pernah menggunakan khidmat mereka sebelum anda book hotel tersebut sama ada di booking.com / agoda.com / tripadvisor.com dll atau pun di laman rasmi hotel tersebut.
Perkhidmatan :
Kaunter reception di Turki beroperasi sekurang-kurangnya 12 jam sehari. Walaupun hotel itu bertaraf satu bintang sekalipun anda mungkin mempunyai kesukaran untuk berjumpa dengan pekerja yang boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan fasih.
Tetapi kebiasaannya pekerja-pekerja di sana begitu friendly dan cuba membantu walaupun dengan hanya menggunakan bahasa ‘isyarat’ sahaja. Huhuhu.
Penyediaan Makanan (Gastronomy) :
Di dalam hotel bertaraf satu bintang di Turki, mereka menyediakan sarapan pagi di dapur mereka dan jika tidak di dalam bangunan hotel akan ada satu restoran di sebelahnya yang mana sudah termasuk di dalam harga yang kita bayar.
Sesetengah harga hotel itu akan jadi lebih murah bila mana tidak termasuk hidangan breakfast.
Sarapan pagi yang mereka selalu sediakan adalah seperti roti potong, jam, madu, buah zaitun, yoğurt, telur, tomato, timun, tea/kopi (nescafe etc.).
Bilik :
Kebanyakan hotel di Turki mempunyai dua katil bujang (twin bedroom, 3’6″ wide per single bed) pada setiap bilik berbanding katil berkembar (queen / double bedroom) atau hanya satu katil di dalam satu bilik.
Jadi, walaupun anda membuat permintaan untuk tidur di katil berkembar kemungkinan besar permintaan anda itu tidak dapat ditunaikan kerana bilangan katil yang ada sangat terhad jumlahnya lebih-lebih lagi yang bertaraf satu bintang.
Dari segi bilik mandi pula, bermula dari hotel bertaraf satu bintang hinggalah bertaraf 3 bintang, hampir kesemua mereka menggunakan konsep ‘Roman Shower’ yang mana pintunya agak terbuka sedikit ataupun konsep ‘Enclosed Shower Stall’ berbanding tab mandi yang hanya akan disediakan di hotel 4-5 bintang.
Bilik mandi / tandas di hotel satu bintang di Turki kebanyakannya berada di dalam bilik hotel tersebut yang mana ia berbeza dari kebiasaan hotel satu bintang di Eropah, melainkan anda pilih untuk tidur di dalam asrama (dorm).
Bilik hotel akan dibersihkan beserta digantikan tuala setiap hari. Cadar / sarung bantal / selimut akan ditukar sebanyak 1 ke 2 kali seminggu.
Untuk barang berharga pula, tidak dapat dijamin selamat atau tidak jika anda simpan di bilik hotel.
Seeloknya minta penjaga di kaunter resepsi untuk menyimpankan barang berharga anda buat sementara. Tiada cas tambahan dikenakan.
3. Hotel Bertaraf Dua Bintang (**)
Seperti biasa, hotel 2 bintang mempunyai kemudahan yang agak sama dengan hotel satu bintang dengan beberapa tambahan sahaja.
Kosnya adalah sekitar 40 – 90 TRY (turkish lira) bersamaan 55 – 115 RM (Ringgit Malaysia) per pax. Kalau check in berdua dan ke atas akan jadi lebih murah sedikit.
Perkhidmatan :
Kaunter resepsi di hotel dua bintang juga adalah hampir sama dengan hotel satu bintang yang mana beroperasi sekurang-kurangnya 12 jam sehari.
Pekerja di kaunter resepsi adalah kebanyakannya dari lepasan graduan Industri Hospitaliti yang mana mereka lebih berpengalaman dan mampu memberi hampir semua bantuan kepada anda seperti memberi panduan arah jalan, mencarikan teksi, membuat sebarang tempahan dan sebagainya.
Jika anda mendapati bilik yang diberikan adalah kotor / pintu tidak boleh dikunci / lampu tidak bernyala, jangan ragu-ragu untuk memanggil mereka untuk menyelesaikan masalah teknikal ini.
Penyediaan Makanan (Gastronomy) :
Terdapat ruang makan yang agak luas atau sebuah restoran kecil di dalamnya jika dibandingkan dengan hotel bertaraf satu bintang.
Kesemua hotel di Turki melihat sarapan pagi yang berkualiti adalah suatu lambang penghormatan buat mereka, maka mereka berlumba-lumba untuk menyediakan sarapan pagi yang terbaik untuk para pelanggan yang menetap di hotel mereka begitu juga hotel bertaraf 2 bintang.
Bilik :
Tiada perbezaan yang besar antara ruang / perabut / corak bilik di hotel satu bintang dan 2 bintang.
Kesemua hotel bertaraf 2 bintang mempunyai bilik mandi peribadi (en-suite bathroom) dan apa yang anda lihat di internet kebanyakannya itulah yang akan disediakan bila anda menginap di sana.
Bilik hotel akan dibersihkan beserta digantikan tuala setiap hari. Cadar / sarung bantal / selimut akan ditukar sebanyak 1 ke 2 kali seminggu.
Pastikan anda semak dahulu perkhidmatan yang mereka sediakan dan testimoni pelanggan-pelanggan mereka yang pernah menggunakan khidmat mereka sebelum anda book hotel tersebut sama ada di booking.com / agoda.com / tripadvisor etc. ataupun di laman rasmi hotel tersebut.
4. Hotel Bertaraf 3 Bintang (***)
Bagi sesiapa yang mempunyai bajet yang sederhana, hotel berkategori 3 bintang ini adalah sesuai untuk anda yang datang sebagai seorang pelancong di Turki.
Sebilangan hotel 3 bintang ada menawarkan perkhidmatan seperti bertaraf 4 bintang tetapi disebabkan beberapa asbab yang remeh, mereka dikategorikan bawah dari 4 bintang.
Antara contoh sebabnya adalah tidak menyediakan bilik mandi yang setaraf dengan hotel 4 bintang. Kita lihat selepas ini apa yang ditawarkan hotel 4 bintang.
Kosnya adalah sekitar 90 – 120 TRY (Turkish Lira) bersamaan 125 – 163 RM (Ringgit Malaysia) per pax/room. Tetapi jika anda tempah hotel untuk 2 orang atau lebih sebilik harganya akan jadi lebih murah sekitar 50 -100 TRY per pax.
Selain itu, disediakan juga jaringan WiFi pada setiap bilik dan laptop/komputer di lobi hotel dengan bayaran tertentu.
Perkhidmatan :
Kaunter resepsi akan dibuka lebih lama daripada hotel bertaraf 1 dan 2 bintang, paling kurang selama 18 jam sehari. Walaupun begitu, perkhidmatan atas talian adalah 24 jam sehari sama ada di dalam dan luar negara.
Mereka juga memberi perkhidmatan tambahan seperti dobi, dry cleaning (bersama dengan sedikit cas tambahan) dan pekerja yang sudi membantu anda membuat sebarang tempahan dan mencadangkan tempat-tempat menarik di Turki.
Penyediaan Makanan (Gastronomy) :
Pastinya hotel bertaraf 3 bintang sentiasa menyediakan sarapan pagi buat anda dan majoriti restoran berada di tapak bangunan hotel. Mereka juga ada menyajikan pelbagai makanan tempatan untuk tengah hari dan malam.
Biasanya hotel bertaraf 3 bintang hingga 5 bintang di Turki mempunyai bar di dalam hotel mereka dan agak sedikit hotel yang menawarkan konsep ‘halal hotel’.
Riadah & Hiburan :
Terdapat pelbagai kemudahan disediakan contohnya kerusi urut, tempat permainan orang dewasa (18+) (snooker/video game etc.) sun terrace, taman hotel dan sebagainya.
Bilik :
Bilik hotel 3 bintang di Turki mempunyai ruang yang lebih besar berbanding hotel 2 bintang dan akan dihiasi dengan beberapa perabot yang sesuai seperti almari pakaian dan meja kecil.
Selain itu penghawa dingin, TV (flat screen), peti sejuk kecil, pengering rambut, room services dan peti keselamatan ada disediakan oleh hotel bertaraf 3 bintang di Turki.
Bilik hotel akan dibersihkan beserta digantikan tuala setiap hari. Cadar/sarung bantal/selimut akan ditukar sebanyak 1 ke 2 kali seminggu.
Begitu juga untuk hotel bertaraf 3 bintang, pastikan anda semak dahulu perkhidmatan yang mereka sediakan dan testimoni pelanggan-pelanggan mereka yang pernah menggunakan khidmat mereka sebelum anda book hotel tersebut sama ada di booking.com / agoda.com dll ataupun di laman rasmi hotel tersebut.
Baca: 10 Tips Survival Sewaktu Travel Ke Istanbul
5. Hotel Bertaraf 4 Bintang (****)
Secara umumnya, kategori hotel ini adalah hampir sama seperti hotel bertaraf 3 bintang dengan beberapa tambahan seperti reka bentuk lobi dan bilik hotel lebih cantik dan mewah.
Ada juga sesetengah hotel 4 bintang di Turki menawarkan perkhidmatan penginapan yang lebih eksklusif dan luar dari kebiasaaan hotel bertaraf 4 bintang yang lain dengan harga yang berpatutan. Selalunya terletak berdekatan dengan pusat membeli-belah.
Harganya adalah sekitar 300 – 550 TRY (turkish lira) bersamaan 420 – 770 RM (Ringgit Malaysia) untuk 2 orang dan 1 bilik.
Perkhidmatan :
Sama sahaja dengan sistem hotel bertaraf 3 bintang seperti kaunter resepsi beroperasi paling kurang selama 18 jam sehari dan perkhidmatan atas talian adalah 24 jam sehari di dalam dan luar negara.
Sudah tentu ada perkhidmatan tambahan seperti dry cleaning, dobi, sterika baju (servis disediakan oleh hotel melalui agensi terpilih) dan juga servis tukaran wang.
Penyediaan Makanan (Gastronomy) :
Restoran yang dibina di dalam hotel bertaraf 4 bintang di Turki ini adalah lebih besar ruangnya daripada gred yang sebelum ini dan di hotel ini turut menyajikan 3 hidangan sehari.
Istimewa pada sarapan paginya disediakan secara bufet yang akan membuatkan anda rambang mata dengan pelbagai pilihan.
Eat Breakfast Like a King, Lunch Like a Prince, and Dinner Like a Pauper
Bila sebut tentang sarapan pagi, jangan kita harapkan sarapan nasi lemak, mee goreng, bihun, roti canai, teh tarik dll sepertimana di Malaysia.
Di Turki breakfast nya sangat ringkas, sihat dan insya-Allah mengenyangkan cuma mungkin anda kurang puas kerana berlainan cita rasa. Huhuhu.
Riadah & Hiburan :
Di hotel 4 bintang anda boleh mendapatkan pelbagai kemudahan riadah dan juga hiburan yang lebih baik.
Terdapat tempat pendandan rambut (lelaki & wanita), kedai hadiah & cenderamata, kolam renang indoor & outdoor, sauna, spa, jacuzzi, gym dan sebagainya.
Bilik :
Mempunyai kemudahan lengkap asas bilik seperti hotel bertaraf 3 bintang ditambah dengan beberapa perkhidmatan istimewa disediakan seperti produk penjagaan diri dan servis bilik (menyediakan makanan atau minuman ke bilik) yang mana beroperasi hampir 6 – 10 jam sehari (mengikut sistem hotel masing-masing).
Bilik tidur anda termasuk tuala/sarung bantal/cadar/selimut akan dikemas dan ditukar pada setiap hari antara pukul 10 pagi – 1 tengah hari kecuali anda meletakkan penanda di pintu anda, ‘Dont Disturb’.
6. Hotel Bertaraf 5 Bintang (*****)
Jika anda mencari keselesaan, ketenangan, pemandangan indah dari luar tingkap sambil menghirup udara yang segar, hotel 5 bintang di Turki mampu menawarkan pelbagai perkhidmatan yang lebih selesa dan mewah sehingga membuatkan anda berasa seperti seorang raja berhari-hari.
Majoriti hotel bertaraf 5 bintang di Turki dimiliki oleh syarikat francais antarabangsa dan tempatan atau pengurus hartanah. Lokasi yang dipilih adalah begitu strategik iaitu di kawasan-kawasan utama pelancongan.
Perkhidmatan :
Tentunya kaunter resepsi dan perkhidmatan atas talian dalam dan luar negara beroperasi selama 24 jam sehari.
Penjaga kaunter resepsinya adalah dari kalangan terpelajar yang mampu berbahasa dengan pelbagai bahasa, paling tidak pun fasih berbahasa Inggeris.
Perkhidmatan tambahan lain pula adalah hampir sama dengan hotel bertaraf 4 bintang.
Penyediaan Makanan (Gastrnomy) :
Penghantaran makanan ke bilik atau bufet termasuk breakfast + lunch + dinner dengan pelbagai cita rasa antarabangsa turut disajikan khas buat anda.
Riadah & Hiburan :
Apa yang ada di hotel 4 bintang akan lebih kurang sama juga yang berada di hotel 5 bintang dengan beberapa sedikit penambahan contohnya kolam renang bersaiz semi-Olympic, kelengkapan sukan air, kelas senaman aerobik dan pelbagai lagi.
Bilik :
Ruang biliknya adalah luas, selesa bahkan seakan-akan sebuah kondominium. Bilik mandi peribadinya (‘En-Suite Bathroom’) juga luas dan mempunyai kelengkapan yang cukup termasuk produk kecantikan.
Hampir seluruh hotel bertaraf 5 bintang mempunyai ruang balkoni yang cantik bersama dengan pemandangan yang indah di setiap kota di Turki.
Kesemua kemudahan asas biliknya juga turut sama dengan hotel 4 bintang ditambah dengan tuala mewah dan TV setelit pelbagai saluran.
Bilik tidur anda termasuk tuala / sarung bantal / cadar/selimut akan dikemas dan ditukar pada setiap hari antara pukul 10 pagi – 1 tengah hari kecuali anda meletakkan penanda pintu ‘Please Dont Disturb’.
Info-info yang diberikan di atas adalah sebagai panduan buat anda dalam menentukan hotel yang mana satu sesuai dengan kemahuan dan kehendak cita rasa anda. Dari segi kadar harga akan berubah-ubah mengikut musim tertentu.
Selamat bercuti ke Turki! İyi Tatiller!
Baca lagi: 22 Aktiviti Menarik Yang Boleh Anda Lakukan Bila Travel Ke Cappadocia Turki