Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) selaku pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) menegaskan pasukannya akan menjadi ‘underdog’ dalam saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Kenyataan ini dibuat oleh TMJ selepas pengumuman yang dibuat oleh JDT mengenai beberapa pemain serta jurulatih pasukan itu meninggalkan pasukan secara tetap mahupun pinjaman.

Baca Juga:

TMJ JDT
Sumber Gambar: TMJ

“Underdog tahun depan. Akan ada ramai lagi yang akan keluar dari kelab. Proses untuk berjimat. Stadium jarang penuh. RM10 aja tiket terbuka. Apapun kita doa yang terbaik untuk kelab. Terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong kami,” kata TMJ.

Dalam satu pengumuman baru-baru ini, JDT melepaskan beberapa pemain senior yang sudah lama berkhidmat bersama kelab selain ketua jurulatih pasukan, Esteban Solari.

“JDT ingin mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya kepada barisan kejurulatihan, pemain dan kakitangan yang akan meninggalkan kelab.

“Harimau Selatan sedang melakukan transformasi yang memperlihatkan kelab mengurangkan perbelanjaan sehingga 30-40% disebabkan keperluan untuk penstrukturan semula kewangan bagi memastikan kelangsungan jangka panjang kelab. Kelab telah membelanjakan sejumlah wang untuk projek bola sepak sepanjang enam hingga tujuh tahun ini.

“Antara yang meninggalkan kelab termasuk ketua jurulatih Esteban Solari, Rodrigo Barrios, Antonio Mateos, Antonio Gavilan dan Dr. Leandro Pinero dari barisan kejurulatihan. Pemain seperti Aidil Zafuan Abd Radzak, S. Kunanlan, Ahmad Hazwan Bakri, Adam Nor Azlin, Leandro Velazquez dan Diogo Luis Santo juga akan meninggalkan kelab selepas lama berkhidmat untuk kelab.

“JDT juga ingin mengucapkan selamat maju jaya buat pemain yang akan dipinjamkan keluar seperti Oscar Arribas, Syafiq Ahmad, Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Haziq Nadzli. Luaskan Kuasamu Johor,” dipetik dari kenyataan yang dikeluarkan pihak kelab.