Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) telah mengadakan pertemuan dengan wakil J.League di Tokyo hari ini.

Menurut kenyataan rasmi Johor Southern Tigers (JST), pertemuan itu adalah bagi membincangkan kemungkinan Baginda melabur dan membeli saham dalam bola sepak Jepun.

Baca Juga:

“Antara objektif adalah termasuk mengembangkan jenama JDT ke Asia Timur dan menarik syarikat-syarikat besar Jepun untuk melabur di Johor,” kata JST.

Wakil dari J.League termasuk Pegawai Eksekutif Korporat (Perniagaan Global) Tetsuya Aida dan Pengurus Besar Takeyuki.

TMJ berada di Jepun sempena perlawanan kelima kumpulan I AFC Champions League (ACL) antara Kawasaki Frontale menentang JDT di Stadium Todoroki Athletics pada hari esok.

Skuad Harimau Selatan amat memerlukan kemenangan bagi mencerahkan peluang untuk mara ke pusingan kalah mati.

Berdasarkan kedudukan terkini kumpulan I, Kawasaki Frontale menghuni tangga teratas dengan 12 mata tanpa kalah manakala JDT di tangga ketiga selepas mengutip 6 mata dalam 4 perlawanan yang diharungi.

Bagaimanapun, pengendali JDT, Esteban Solari enggan terlalu memikirkan rekod kurang baik JDT setiap kali menentang kelab dari Jepun.

“Selepas beraksi menentang Kawasaki di Johor Bahru, kami tahu mampu beri saingan.

“Apa kami perlu awasi beberapa pemain berkualiti yang dimiliki Kawasaki dengan saya berharap barisan tengah dan serangan untuk membuat kerja dengan lebih positif,” kata Solari.

JDT tewas tipis 0-1 kepada Kawasaki Frontale ketika perlawanan pertama di Stadium Sultan Ibrahim.