Berita baik buat peminat kereta mini dan pengumpul die-cast di Malaysia! Anda tidak perlu lagi terbang jauh ke Jepun untuk merasai pengalaman eksklusif Tomica Brand Store, kerana cawangan pertama di Asia Tenggara secara rasminya telah mendarat di Suria KLCC, Kuala Lumpur.

Terletak di dalam kedai Toys“R”Us IP Flagship Collection Store (Aras 2), pembukaan ini adalah satu pencapaian besar buat TOMY Company, Ltd. Memilih Malaysia sebagai lokasi ketiga di luar China (selepas Shanghai dan Beijing), kedai ini bukan sekadar tempat menjual mainan, tetapi sebuah “syurga” bagi peminat semua peringkat umur.

Konsep ‘Kedai-Dalam-Kedai’ Yang Gah

Tomica Brand Store Sulung Asia Tenggara Kini Rasmi Di Toys 'R' Us Suria KLCC

Apa yang menariknya, kedai ini direka dengan konsep yang sangat unik. Sebaik tiba, anda akan disambut dengan reka bentuk luar kedai yang menyerupai kotak Tomica gergasi. Di dalamnya pula, suasana dunia permotoran mini ini diterjemahkan melalui beberapa zon khas:

Tomica Wall: Sebuah dinding ikonik yang membariskan lebih 2,000 kereta mini die-cast. Memang instaworthy!

Wheel Table: Pameran tayar bertingkat yang menjadi pusat perhatian di tengah kedai.

Tomica Kidults Area: Ruang khas untuk golongan dewasa yang masih berjiwa muda dan tegar mengumpul koleksi premium.

Tomica History Area: Sudut yang memaparkan sejarah panjang jenama ini sejak 1970.

Model Eksklusif Hanya Di Sini

Bagi para kolektor, ini adalah bahagian yang paling ditunggu-tunggu. Tomica Brand Store di KLCC ini menawarkan dua produk eksklusif yang hanya boleh didapati di sini (dan cawangan di China). Selain itu, barangan asli yang biasanya hanya dijual di kedai Tomica di Jepun turut dibawa masuk untuk pasaran Malaysia.

Sambutan Ulang Tahun Ke-55 Yang Bermakna

Menurut Pengarah Urusan TOMY ASIA, Ochiai Kiyoshi, pembukaan ini juga bertepatan dengan sambutan ulang tahun Tomica yang ke-55.

Dengan lebih 1 bilion unit terjual di seluruh dunia sehingga kini, kehadiran cawangan utama di Malaysia ini mengukuhkan lagi hubungan jenama ini dengan komuniti pengumpul tempatan yang sudah lama setia melalui pengedar rasmi, Litt Tak Sdn Bhd.

Jadi, buat anda yang berada di sekitar Kuala Lumpur atau merancang untuk ke Suria KLCC hujung minggu ini, pastikan anda singgah ke sini.

Sama ada anda seorang kolektor tegar atau sekadar mahu mengimbau kenangan masa kecil, Tomica Brand Store menjanjikan pengalaman “Only The Real Thing Moves” yang sebenar.