Deadpool nampaknya ada kejutan untuk peminat setia beliau Disember ini. 20th Century Fox semalam secara tiba-tiba berkongsikan trailer ‘Once Upon A Deadpool’, filem Deadpool dengan rating PG-13.

Ini bermakna ibu bapa boleh membawa anak mereka untuk pergi menonton filem Deadpool bersama-sama di pawagam! “Fox berulang kali meminta saya untuk menjadikan Deadpool filem dengan rating PG-13 dan bukannya R-Rated,” kata Ryan. “Saya bersetuju tetapi di bawah dua syarat; satu sebahagian daripada kutipan tiket perlu diberi untuk charity dan saya mahukan Fred Savage bersama dalam filem ini,” tambah Ryan.

Fred Savage pernah membintangi sebuah filem pada tahun 1987 bertajuk The Princess Bride. Jadi Once Upon A Deadpool ini akan mengikut penceritaan seperti Princess Bride. Untuk setiap tiket yang terjual, USD1 akan terus disumbangkan ke persatuan Fudge Cancer atau lebih dikenali sebagai F*ck Cancer. Nama persatuan ini ditukar khas sempena filem PG-13 ini.

Suntingan dibuat untuk babak-babak ganas serta perkataan F dalam filem ini dan khabarnya akan ada babak tambahan yang tidak ada dalam filem Deadpool 2 dalam filem ini. Tidak pasti sama ada pawagam di Malaysia akan menayangkan Once Upon A Deadpool, jadi kita tunggu sahaja pengumuman lanjut.