Kerja sebagai krew kabin mungkin kelihatan glamor dan mudah apabila penerbangan berjalan lancar tanpa sebarang halangan. Namun, ketahanan sebenar mereka diuji apabila krisis melanda di awan biru.

Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes tampil memuji tahap profesionalisme luar biasa yang dipamerkan oleh barisan krew kabinnya berikutan insiden kekecohan melibatkan seorang penumpang dalam sebuah penerbangan di Chongqing.

Menerusi satu perkongsian video di laman Instagram peribadinya, Tony dilihat sedang beramah mesra dengan usahawan terkenal Malaysia, Datin Winnie Loo di dalam sebuah penerbangan.

Dalam perbualan santai namun penuh makna itu, Winnie membangkitkan insiden berkenaan dan menzahirkan kekagumannya terhadap kecekapan krew AirAsia mengawal keadaan yang tegang.

“Dari situ anda boleh lihat betapa hebatnya krew anda sebenarnya,” ujar Winnie kepada tokoh penerbangan tersebut.

Menyambut baik pandangan tersebut, Tony bersetuju dan meluahkan rasa bangga terhadap pasukannya. Beliau menyifatkan bahawa detik-detik di luar jangkaan seperti itulah yang menonjolkan kekuatan sebenar dan kualiti seorang krew kabin.

Jelas beliau, tugas di awan biru mungkin nampak mudah pada hari-hari biasa, tetapi keupayaan sebenar mereka diuji apabila terpaksa berhadapan dengan situasi yang rumit.

“Apabila berlakunya masalah, pada waktu itulah anda dapat melihat sama ada krew anda benar-benar hebat… dan saya berpendapat mereka telah melakukan tugas dengan sangat baik. Saya amat bangga dengan mereka,” jelas Tony.

Tokoh korporat itu tidak menafikan bahawa berurusan dengan pelbagai ragam penumpang merupakan satu cabaran besar, terutamanya apabila berdepan dengan individu yang bertindak agresif.

Walau bagaimanapun, ketenangan dan kawalan emosi yang dikekalkan oleh krew penerbangan sepanjang insiden tersebut jelas mencerminkan kualiti latihan komprehensif dan profesionalisme tinggi yang diamalkan oleh syarikat penerbangan itu.

Dalam pertukaran pandangan itu juga, Winnie tidak melepaskan peluang memuji corak kepimpinan Tony. Beliau percaya budaya perkhidmatan yang cemerlang di AirAsia berakar umbi daripada nilai kepimpinan CEO itu sendiri.

Winnie menyifatkan Tony sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat yang merendah diri—beliau sering dilihat bertegur sapa dengan penumpang, bersalaman, malah tidak kekok membantu krew membersihkan sampah di dalam pesawat.

Mengakhiri perkongsian video tersebut, Tony turut menyentuh tentang realiti semasa industri penerbangan yang kini terpaksa mengharungi fasa mencabar, didorong khususnya oleh lonjakan harga minyak global.

Meskipun begitu, beliau tampil memberikan jaminan dengan nada yang penuh optimis bahawa AirAsia akan terus beradaptasi demi memastikan kelangsungan operasi mereka.

“Memang waktu yang agak sukar sekarang… tetapi kita akan sentiasa mencari jalan untuk menyelesaikannya,” kata Tony dengan penuh azam.

Boleh tonton video respon Tony Fernandes di bawah ini:-