Sejak bulan Ogos lalu, timbul isu katering dalam penerbangan melibatkan Malaysia Airlines Bhd (MAS) dengan Brahim’s Holdings Bhd, sehingga penumpang dibenarkan bawa bekal makanan sendiri dengan bersyarat.

Terbaharu, Capital A Bhd terbuka untuk bekerjasama dengan Malaysia Aviation Group (MAG) untuk menyediakan makanan dalam penerbangan di atas Malaysia Airlines Bhd melalui anak syarikat katering syarikat penerbangan AirAsia, Santan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Memetik laporan New Straits Times, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata syarikat itu juga akan mempertimbangkan untuk menjalin usaha sama dengan MAG untuk membeli 70 peratus pegangan yang tidak dimiliki oleh syarikat itu dalam Brahim’s Food Services Sdn Bhd (BFS).

“Ia idea yang baik untuk melakukan usaha sama untuk membeli 70 peratus kepentingan tetapi tiada siapa yang menghubungi kami untuk itu. Saya akan mempertimbangkan usaha sama dengan MAG. Mengapa tidak? Jika mereka mahu.

“Jika AirAsia dan Malaysia Airlines bekerjasama, kita boleh mengambil begitu banyak perniagaan bersama-sama. Dapur itu boleh pergi ke Thailand, ia boleh pergi ke mana-mana,” kata Fernandes kepada Business Times dalam temu bual baru-baru ini.

Beliau juga berkata Capital A telah menyatakan minatnya untuk bekerjasama dengan Malaysia Airlines melalui Santan sejak sebelum kerjasama antara syarikat penerbangan nasional itu dan BFS berakhir.

“Kami telah memaklumkan kepada Malaysia Airlines bahawa kami boleh menyediakan makanan kepada mereka sejak dahulu lagi,” katanya.

Fernandes turut mempertikaikan BFS adalah monopoli dalam pasaran katering syarikat penerbangan kerana terdapat katerer makanan dalam penerbangan lain seperti Santan dan Pos Aviation Sdn Bhd.

Untuk makluman, BFS ialah unit katering syarikat penerbangan Brahim’s Holdings Bhd. Syarikat itu telah menamatkan kerjasama 26 tahun mereka dengan Malaysia Airlines pada 31 Ogos.