Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Seri Manjung telah menahan dan menyita sebuah Proton X50 menerusi satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan baru-baru ini.
Menerusi hantaran Facebook JPJ Negeri Perak, hasil pemeriksaan lanjut di lokasi mendapati pemandu kenderaan terbabit telah melakukan tiga kesalahan utama di bawah undang-undang jalan raya, iaitu:
a. Lesen Kenderaan Perdagangan Motor Tamat Tempoh (sejak 5 Mei 2026)
b. Tiada Perlindungan Insurans
c. Menggunakan Kenderaan Tidak Berdaftar
Ekoran daripada pelanggaran peraturan tersebut, anggota penguat kuasa telah mengeluarkan Notis Saman (P22) serta Notis Sita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi tujuan penahanan kenderaan untuk tindakan lanjut.
JPJ menegaskan bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pemilik atau pemandu kenderaan yang gagal mematuhi undang-undang demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya yang lain.