Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching menyatakan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) sedang mendapatkan peruntukan kira-kira RM50,000 yang bertujuan memasang jaring keselamatan di bahagian bawah Jambatan Victoria, susulan insiden yang mengorbankan seorang kanak-kanak.

Menurut beliau, selain menunggu kerja pembaikan lain di jambatan berusia lebih 100 tahun itu, pemasangan jaring itu merupakan antara langkah keselamatan tambahan yang akan dilaksanakan, petik Kosmo.

“Berdasarkan maklumat MPKK, pemantauan terhadap jambatan itu telah dibuat dari semasa ke semasa, dengan pemeriksaan fizikal terakhir di tapak pada 30 Jun lalu.

“Malah, sebelum kejadian ini, permohonan peruntukan juga telah dibuat bagi kerja penyelenggaraan termasuk penggantian kira-kira 60 kayu landasan yang telah usang,” katanya.

Akses Jambatan Victoria Ditutup

Sebagai langkah keselamatan, mulai semalam MPKK telah mengambil tindakan segera dengan menutup akses masuk ke bahagian struktur besi Jambatan Victoria kepada para pengunjung.

Namun, kawasan luar serta bahagian struktur batu masih dibuka dan boleh dilawati orang ramai.

Sumber