Old Cliffordians’ Association (OCA) akan menganjurkan Old Cliffordians’ Premier League (OCPL) 2026 bertempat di padang SMK Clifford Kuala Kangsar pada 1 dan 2 Mei nanti.

Liga bola sepak itu merupakan edisi khas sempena 10 tahun penganjuran OCPL.

Lebih Daripada Sekadar Bola Sepak – OCPL 2026 Bakal Raikan Semangat Persaudaraan Cliffordians

Program anjuran OCA ini dijangka akan menghimpunkan ratusan alumni SMK Clifford, Kuala Kangsar dari pelbagai generasi dari seluruh negara dalam semangat kesukanan, persaudaraan dan jaringan profesional yang berterusan.

Sejak diperkenalkan sedekad yang lalu, OCPL telah menjadi platform utama dalam menyatukan bekas pelajar Clifford selain memperkukuh hubungan antara generasi lama dan generasi baharu OCA.

OCPL 2026 Tarik Penglibatan 700 Orang Alumni

Penganjuran kali ini dijangka melibatkan lebih 30 pasukan (batch 1980 hingga 2025) dan 700 pemain. Menurut kenyataan media dikeluarkan persatuan tersebut, dijangkakan penonton dan penyokong yang akan menghadiri kejohanan ini akan mencecah 1,000 orang.

Kehadiran seramai ini pastinya membawa impak secara langsung kepada masyarakat sekitar Kuala Kangsar dari segi ekonomi setempat. Dijangkakan lebih daripada 40 syarikat swasta bakal menjalin kerjasama strategik dalam penganjuran OCPL kali ini.

Lebih Daripada Sekadar Bola Sepak – OCPL 2026 Bakal Raikan Semangat Persaudaraan Cliffordians
Mesyuarat Penyelarasan bersama Agensi-Agensi Kerajaan

Duli Yang Amat Mulia Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzulkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah, Penaung OCA berkenan berangkat ke majlis penutupan pada 2 Mei.

Selain itu, program yang berprestij ini akan dihadiri oleh Old Cliffordians, wakil-wakil agensi Kerajaan, pemain industri dan pegawai-pegawai Syarikat Berkaitan Kerajaan.