Debu di padang Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh menjadi saksi kehebatan pasukan ragbi Kuala Kangsar apabila mereka berjaya merangkul gelaran juara kategori Bawah 18 Tahun (B-18) dalam Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Perak (MSSPK) 2026 yang berakhir pada Ahad lalu.
Dalam aksi final yang cukup sengit dan penuh emosi, Kuala Kangsar berjaya menundukkan cabaran hebat daripada pasukan Larut Matang & Selama (LMS) dengan keputusan 14-9.

Kunci utama kejayaan ini terletak pada gabungan pemain daripada gergasi ragbi yang berpangkalan di Kuala Kangsar iaitu Malay College Kuala Kangsar (MCKK) serta Maktab Rendah Sains Mara Sultan Azlan Shah (MRSM SAS).
Kinta Utara pula meraih tempat ketiga selepas menundukkan Hulu Perak 24-3.
Bagan Datuk muncul juara kategori Plate hasil kemenangan selesa 45-0 ke atas Kinta Selatan manakala kategori Bowl menjadi milik Kerian yang menewaskan Manjung 18-10.

LMS Ungguli Ragbi MSSPK B-12
Sementara itu bagi saingan bawah 12 tahun (B-12), LMS meraih kejuaraan selepas menundukkan Perak Tengah 20-0 pada aksi final. Kinta Utara pula menduduki tempat ketiga hasil kemenangan 25-7 ke atas Hilir Perak.
Dengan kejuaraan B-12 dan naib juara B-18, LMS dinobatkan selaku juara keseluruhan dengan mengumpul 53 mata, 11 mata meninggalkan Kuala Kangsar di kedudukan kedua.
Kejohanan tiga hari ini bakal menjadi penanda aras untuk pemilihan skuad Perak ke peringkat MSSM nanti, di mana STAR akan menjadi tuan rumah kejohanan tersebut.