Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus membuktikan kemampuan selaku gergasi ragbi tanah air apabila berjaya menjuarai kejohanan Piala Agong 2025 selepas membenam cabaran Johor 18-17 pada aksi final yang berlangsung di UM Arena, sebentar tadi.
Lebih manis untuk diperkatakan, ia merupakan kejuaraan hatrik buat PDRM dalam saingan ragbi paling berprestij di Malaysia itu.
Baca Juga:
- Hormati Budaya Setempat, KRM Wajibkan Pemain Beragama Islam Pakai ‘Legging’ Ketika Ragbi National 7s

- Mengenang Pengorbanan Josua Tuisova, Korbankan Duka Kehilangan Anak Demi Skuad Ragbi Fiji

- Willie Isa: Arkitek Senyap Di Sebalik Kebangkitan Chelsea

Malah, kejuaraan yang diraih juga nyata cukup dramatik apabila PDRM memerlukan hingga ke saat akhir permainan untuk menghampakan Johor.
Permulaan pertembungan melibatkan dua pasukan terbaik negara itu menyaksikan mereka terlepas peluang untuk mendapatkan mata menerusi penalti daripada Aqasha Daniel Irwan (Johor) dan Muhamad Amirul Aqil Kamsol (PDRM).
Amirul Aqil kemudiannya menebus kehampaan tersebut dengan menyempurnakan penalti untuk memberikan kelebihan buat pasukannya pada minit ke-27.
Johor yang memperkemaskan aksi berjaya mendapatkan ‘try’ berselang dua minit kemudian hasil ‘quick penalty’ disudahkan dengan baik pemain naturalisasi negara, Sae Faalupega dan Aqasha Daniel mendapatkan ‘conversion’.
Ketika pemain sudah bersedia untuk rehat separuh masa, Owen Niue tidak melepaskan peluang serangan balas hasil kesilapan pemain Johor untuk ‘try’ pertama buat PDRM pada minit ke-40 bagi menjadikan kedudukan 8-7.

Kebangkitan Saat Akhir PDRM
Memasuki minit ke-48, Amirul Aqil menambah tiga lagi mata buat PDRM untuk menjadikan kedudukan 11-7.
Ketika Johor giat untuk memberikan tekanan, skuad kendalian Rodney So’oialo yang merupakan legenda New Zealand All Blacks itu terpaksa bermain dengan kekurangan seorang pemain dalam tempoh 10 minit.
Hal ini kerana Kolinio Yabia dilayangkan kad kuning pada minit ke-58 ekoran kekasaran ketika situasi ‘off the ball’ terhadap Taniela Tuirabe.
Empat minit kemudian Johor terus dirundung malang apabila Supriyanto Sudyai pula dilayangkan kad kuning berikutan kesilapan ketika melakukan ‘scrum’.
Kekurangan dua pemain itu bagaimanapun langsung tidak merentap semangat juang Johor yang tanpa disangka mendapatkan try kedua pada minit ke-68 menerusi Serpepeli Turuva dan disusuli conversion oleh Aqasha Daniel bagi memberikan kelebihan 14-11.
Aqasha Daniel kemudiannya mengukuhkan lagi kedudukan buat Johor dengan penalti yang menjadikan jurang 17-11 pada minit ke-74.
Namun ia bukanlah penamat buat PDRM yang cukup tenang menghadapi tekanan tersebut untuk mendapatkan try pada minit ke-80 dan akhirnya conversion Amirul Aqil menghadiahkan kejuaraan Piala Agong 2025 buat skuad kendalian Dinesvaran Krishnan itu dengan kemenangan 18-17.
Sementara itu bagi penentuan tempat ke-3/4, Kelantan menewaskan Perlis dengan keputusan 50-39.