Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) telah mewajibkan semua pemain lelaki dan wanita beragama Islam untuk memakai ‘legging’ atau seluar ‘tight’ panjang sepanjang Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan (National 7s) yang bakal berlangsung pada 25 hingga 27 Julai nanti.

Perkara ini diumumkan secara rasmi menerusi satu kenyataan pendek di laman sosial rasmi MRU berhubung etika pemakaian pada saingan di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Terengganu itu.

“Diwajibkan. Semua pemain lelaki dan wanita yang BERAGAMA ISLAM yang bakal beraksi di kejohanan National 7s diwajibkan untuk memakai legging atau tight panjang sebagai usaha pihak penganjur menggalakkan pematuhan syariah selaras dengan nilai dan budaya setempat. Harap maklum,” kenyataan dikeluarkan KRM.

Inisiatif ini adalah selaras dengan nilai budaya tempatan serta usaha menggalakkan pematuhan prinsip syariah dalam penganjuran sukan di peringkat kebangsaan.

Langkah ini pantas mencetuskan reaksi positif dalam kalangan peminat dan komuniti ragbi tempatan.

Mereka menyambut baik langkah tersebut sebagai satu bentuk pendidikan dan penghormatan terhadap sensitiviti agama.

Ada juga yang mahukan kewajipan ini turut dipatuhi oleh barisan pengadil bertugas di sana nanti.

Ragbi National 7s Kejohanan Berprestij

Kejohanan National 7s 2025 bakal menggamit kehadiran 41 pasukan dimana 12 daripadanya dalam kategori Terbuka Lelaki, tujuh pasukan Terbuka Wanita, 12 penyertaan Lelaki Bawah 21 Tahun dan 10 pasukan untuk Wanita Bawah 21 Tahun.

National 7s bukanlah calang-calang pertandingan bagi komuniti ragbi tanah air kerana ia merupakan kejohanan paling berprestij dalam negara kerana ia mula dipertandingkan sejak 1988.

Kejohanan edisi lalu yang turut diadakan di Terengganu menyaksikan  Johor muncul juara kategori Lelaki Terbuka selepas menundukkan Selangor 22-0 pada perlawanan akhir.

Kejuaraan berganda dilakarkan Johor apabila turut menjuarai kategori Lelaki Bawah 21 Tahun hasil kemenangan ke atas Terengganu 26-12.

Kategori Terbuka Wanita pula menjadi milik Selangor selepas membenam cabaran Perlis 15-5 dan Terengganu unggul dalam kategori Wanita Bawah 21 Tahun dengan menewaskan Selangor 17-0.