SMK Anderson, Ipoh mengekalkan kejuaraan yang dimenangi pada tahun lalu untuk menggungguli Kejohanan Ragbi Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Kinta Utara bagi kategori bawah 18 tahun.

Lebih manis untuk diperkatakan, Anderson beraksi cemerlang untuk menewaskan pasukan tuan rumah, Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) 10-0 dalam aksi final yang berlangsung petang semalam.

Berdepan STAR yang merupakan gergasi dalam sukan ragbi peringkat sekolah menengah di Ipoh langsung tidak merentap semangat juang anak-anak buah Suhaimi Sudin.

SMK Anderson Pertahan Kejuaraan

‘Try’ daripada Syamil Hakimi dan sepakan ‘conversion’ Azriel Darwisy membolehkan SMK Anderson mendahului 7-0 pada babak pertama.

Azriel kemudiannya melebarkan kedudukan dengan menambah tiga lagi mata menerusi sepakan penalti sekali gus memastikan kejuaraan yang dimenangi pada tahun lalu berjaya dikekalkan.

Kemenangan ke atas STAR juga memberi isyarat jelas bahawa SMK Anderson bukan sekadar juara bertahan, tetapi pasukan yang mampu mengekalkan prestasi konsisten dan mengukuhkan tradisi cemerlang dalam sukan ragbi sekolah selepas sekian lama hampa berikutan dominasi STAR.

Sebelum memenangi pada tahun lalu, SMK Anderson terpaksa menanti selama 20 tahun sebelum dapat kembali mengecapi nikmat selaku juara ragbi bagi kategori bawah 18 tahun.

Selain kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Negeri Perak menanti, sekolah ini juga akan mengharungi Super Rugby Academy (SAR) bermula 8 April nanti.

SAR merupakan kejohanan menampilkan sekolah-sekolah ternama yang berada dalam senarai Pusat Latihan Kebangsaan (PLK) dan Pusat Latihan Negeri (PLN).

Satu pengalaman berguna dan sangat berharga buat barisan pemain meskipun mereka hanyalah berstatus Pusat Latihan Daerah (PLD).