Akademi Ragbi Ipoh (ARAI) mendapat suntikan semangat selepas syarikat YBS Holdings Sdn. Bhd. melalui jenama barang kemas Siti Jewels secara rasminya tampil sebagai penaja utama bagi tempoh setahun.
Suntikan terbaharu itu bukan sekadar berbentuk wang ringgit, tetapi merupakan perintis kepada langkah lebih hebat bagi memperkasakan program pembangunan akar umbi akademi tersebut dalam usaha melahirkan lebih ramai bakat ragbi berkualiti dari bumi Perak.
ARAI merupakan inisiatif Persatuan Ragbi Daerah Kinta yang kini menjadi mercu tanda baharu buat sukan ragbi di negeri Perak.

Tajaan Siti Jewels Lonjakan Semangat Buat ARAI
Pengerusi YBS Holdings, Muhammad Solehuddin Shamsuddin menegaskan bahawa sebagai anak jati Perak, beliau terpanggil untuk memastikan pemain muda di negeri ini mempunyai platform yang kukuh untuk berjaya.
Menariknya, ini merupakan penglibatan sulung syarikat tersebut dalam kancah penajaan sukan, sekali gus meletakkan sukan ragbi sebagai fokus utama mereka buat masa ini.
Dengan sokongan kewangan yang stabil ini, ARAI kini lebih bersedia untuk mengukuhkan pengoperasian mereka yang bermula daripada sebuah impian kecil pada tahun 2024.

Kini, akademi ragbi pertama di Perak ini bukan sahaja fokus kepada latihan harian di SMK Anderson, malah sudah mula memasang impian lebih besar untuk bersaing hebat dalam pentas Super Rugby Academy (SAR) 2026.
Selain Siti Jewels sebagai penaja utama, ARAI turut mendapat nafas baharu melalui sokongan pelbagai pihak lain termasuk Niase Restaurant, Cikjr. Cafe, Torpedo Sport Ltd, Defender Sportstore dan AKProduction.
Majlis perasmian dan menandatangani perjanjian penajaan ini telah disempurnakan oleh YB Dato’ Khairuddin Abu Hanipah, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak di SMK Anderson, Ipoh pada Sabtu lalu.