Pemandu bas persiaran yang memandu secara berbahaya hingga mengakibatkan kematian 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Isnin lalu, telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini.
Memetik Kosmo, tertuduh, Mohd. Amirul Fadhil Zulkifle, 39, telah mengaku tidak bersalah terhadap kesemua 15 pertuduhan yang dibacakan secara berasingan. Pertuduhan-pertuduhan ini adalah di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Kesalahan itu didakwa dilakukan oleh tertuduh di KM 53 Lebuhraya Timur-Barat, pada jam 1.15 pagi, Isnin lalu.
Di hadapan Majistret Muhammad Firdaus Nor Azlan, bapa kepada tiga anak itu juga mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 42 APJ 1987, iaitu memandu secara melulu dan membahayakan.
Sebagai maklumat, tertuduh telah didakwa di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM50,000 sekiranya disabitkan kesalahan.