Peranan dalam bola sepak digelar ‘Trequartista’ merupakan antara nadi penting sebagai ‘mesin’ atau perancang kepada jaringan yang diperlukan oleh sesebuah pasukan.

Istilah tersebut sebenarnya berasal dari bahasa Itali yang membawa maksud, tiga suku padang.

Baca Juga:

Ia memberikan gambaran jelas serta idea di mana pemain dengan peranan ini akan beraksi dalam satu-satu perlawanan.

Secara teknikalnya pemain dengan peranan trequartista ini akan berada pada posisi di antara pemain tengah dan penyerang yang juga boleh disifatkan sebagai separuh pemain tengah dan separuh penyerang.

Dalam pasukan yang mengamalkan peranan trequartista, pemain ini akan menjadi jantung kepada serangan-serangan yang akan dijelmakan.

Dalam masa yang sama, trequartista juga turut bertindak sebagai penjaring gol yang berada lebih jauh dari posisi di hadapan pintu gol lawan.

Hal ini kerana pemain yang bertindak selaku trequartista mempunyai kemahiran teknikal yang tinggi untuk merencanakan serangan-serangan berbahaya.

Mereka juga akan bertindak dalam menghubungkan pemain tengah dan sayap kepada penyerang.

Bagi mengelakkan diri daripada menjadi sasaran kawalan pemain pihak lawan, trequartista akan lebih banyak bermain di kawasan tengah padang, membuat percubaan dan mencipta peluang gol kepada rakan sepasukan melalui kawasan yang sedikit jauh dari pertahanan pihak lawan.

Pemain yang bertindak selaku trequartista wajib memiliki kemahiran mengawal bola dalam tempoh agak lama.

Kelebihan ini amat diperlukan supaya bola tidak mudah hilang dari kakinya dan juga yakin menyimpan bola lebih lama bagi membolehkan rakan sepasukan membuka ruang dan sekaligus memudahkan trequartista melorongkan bola pada tempat yang betul.

Selain itu, kemahiran yang wajib dikuasai oleh pemain dengan peranan nombor 10 ini pastinya apa diperlukan pada seorang pemain tengah dan penyerang.

Antara aspek diperlukan adalah seperti kebolehan menggelecek, hantaran terakhir (assist), mencipta peluang, membuat percubaan ke arah pintu gol dan mempunyai mentaliti yang tinggi.

Perkara penting yang rakan sepasukan harus ambil tahu dan memahami tentang trequartista ialah pemain dengan peranan ini akan kurang melibatkan diri ketika situasi bertahan.

Hal ini kerana trequartista menjadi harapan kepada jurulatih dan pasukan untuk bergerak sebebas yang boleh di tengah padang untuk mencipta peluang bagi memberikan ancaman ke kubu lawan.

Keadaan ini memaksa pihak lawan mengorbankan seorang pemain tengah untuk mengikat pergerakan walau dimana pemain ini bergerak.

Manakala sebagai trequartista pula, pemain tersebut seharusnya mampu bertindak menjauhkan diri dari ‘marking’ ketat pihak lawan.

Terdapat perbezaan trequartista era moden dan klasik

Pemain terkenal yang memainkan peranan ini pada era moden ialah tonggak utama Manchester City, Kevin De Bruyne.

Beliau nyata memiliki semua kemahiran yang diperlukan pada seorang trequartista. Tidak hairanlah Manchester City kelihatan amat terjejas selepas pemain tersebut mengalami kecederaan panjang.

De Bruyne bermain agak di tengah padang. Dalam keadaan ini, beliau akan menggunakan sepenuh kemahirannya untuk menambah penguasaan City di tengah padang.

Corak permainan yang diterapkan oleh De Bruyne agak berbeza jika dibandingkan dengan trequartista klasik seperti Zinedine Zidane, Juan Roman Riquelme, Francesco Totti dan Kaka.

De Bruyne banyak mengubah peranannya. Beliau menjadi seorang pemain sayap tambahan (Mezzala) berbanding trequartista klasik yang banyak bermain di ruang antara pemain tengah dan penyerang sahaja.

Situasi De Bruyne membuatkan beliau lebih menjadi harapan untuk melakukan hantaran lintang berbanding apa dilakukan trequartista klasik yang banyak melakukan hantaran terakhir dari tengah.

Sekiranya mahu melihat pemain tempatan dengan peranan ini, Arif Aiman Mohd Hanapi, Syafiq Ahmad dan Amri Yahyah merupakan contoh yang cukup sesuai.

Kesemua pemain tersebut dilihat mampu untuk memainkan peranan ini dengan cemerlang sekiranya diperlukan.

Hal ini kerana pemain-pemain tersebut ada kemampuan tinggi untuk menjadi pemain false 9 apabila keadaan mendesak atau kecemasan kerana mereka amat memahami peranan dalam kotak penalti.