Baru semalam kita mendengar berita akan terdapat ura-ura bakal berlaku kawalan cip AI di Asia Tenggara, kini Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah mengumumkan kewujudan tarif import sebanyak 25 peratus terhadap Malaysia bermula 1 Ogos ini.

Memetik Berita Harian, Trump percaya langkah ini perlu diambil untuk ‘melindungi industri tempatan di negaranya’ daripada apa yang beliau sifatkan sebagai amalan amalan tidak adil oleh beberapa negara.

Trump Kenakan Tarif Import 25 Peratus Terhadap Malaysia Mulai 1 Ogos
Sumber Gambar: ABC News

“Kita tidak boleh lagi membiarkan negara lain mengambil kesempatan terhadap kita. Mulai 1 Ogos, semua import dari Malaysia akan dikenakan tarif sebanyak 25 peratus,” katanya dalam satu surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikongsi dalam laman Truth Social.

Selain Malaysia, terdapat banyak negara lain yang turut terkena tempiasnya termasuklah Jepun, Tunisia, Korea Selatan, Kazakhstan sementara Afrika Selatan dan Bosnia & Herzegovina (30 peratus); Serbia dan Bangladesh (35 peratus); Kemboja dan Thailand (36 peratus) serta sehingga 40 peratus untuk Laos dan Myanmar didapati dikenakan dengan kadar jauh lebih tinggi.

Merujuk kepada surat yang dihantar kepada Anwar itu, Trump berkata angka 25 peratus yang dicadangkan itu jauh lebih rendah daripada apa yang sebenarnya diperlukan untuk menghapuskan defisit perdagangan AS yang berterusan dengan Malaysia.

trump
Sumber Gambar: Berita Harian
Trump Kenakan Tarif Import 25 Peratus Terhadap Malaysia Mulai 1 Ogos
Sumber Gambar: Berita Harian

Bagaimanapun, Trump menjelaskan perkara ini boleh berubah iaitu tidak dikenakan sebarang tarif jika Malaysia atau syarikat tempatan pertimbang untuk membangunkan atau menghasilkan produk di AS.

Tidak sekadar itu, Trump turut menggalakkan penyertaan Malaysia yang lebih besar dalam ekonomi Amerika Syarikat, yang disifatkannya sebagai “pasaran nombor satu” di dunia.

“Malah, kami akan melakukan segala yang mungkin untuk mendapatkan kelulusan dengan cepat, profesional, dan secara rutin – dengan kata lain, dalam masa beberapa minggu,” katanya.

Trump turut telah menghantar surat yang sama kepada beberapa negara lain, termasuk Jepun, Korea Selatan, Indonesia, Bangladesh, Thailand, dan Afrika Selatan.