Hubungan antara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan bilionair teknologi Elon Musk dilihat terus tegang apabila kedua-duanya kembali saling mengkritik secara terbuka.

Sebelum ini Elon Musk adalah penyokong kuat Donald Trump ketika Trump berkempen dalam pilihanraya Presiden AS.

Namun sekarang Tump menghalau Elon Musk pulang sahaja ke Afrika Selatan jika dia masih tak puas hati dengan pembahagian subsidi di Amerika Syarika.

Trump dalam kenyataan terbaharunya mendakwa CEO Tesla dan SpaceX itu merupakan individu yang menerima subsidi kerajaan paling banyak dalam sejarah Amerika Syarikat.

“Tanpa subsidi kerajaan, Elon mungkin terpaksa tutup perniagaan dan pulang ke Afrika Selatan,” kata Trump.

Elon Musk kutuk dasar Trump

Kenyataan itu hadir selepas Musk secara terbuka mengkritik rang undang-undang baharu yang digelar Big Beautiful Bill, yang menurutnya mampu menjejaskan industri kenderaan elektrik dan tenaga bersih di AS.

Musk turut menyifatkan sokongan Republikan terhadap rang undang-undang tersebut sebagai “politik bunuh diri”, selain memberi amaran ahli politik yang menyokongnya bakal berdepan kekalahan dalam pemilihan akan datang.

Trump Tak Pernah Setuju Idea ‘Wajib Pakai Kereta Elektrik’

Dalam masa sama, Trump menegaskan beliau sejak awal lagi tidak bersetuju dengan idea mewajibkan rakyat Amerika memiliki kenderaan elektrik.

“Kenderaan elektrik tidak salah, tetapi bukan semua orang perlu memilikinya,” ujar Trump.

Trump seterusnya meminta Elon Musk tinggalkan sahaja Amerika Syarikat dan pulang ke negara asalnya Afrika Selatan, jika dia tak puas hati dengan polisi baharu Rumah Putih.

Beliau turut menyindir syarikat milik Musk seperti SpaceX dan Tesla yang banyak mendapat manfaat menerusi kontrak serta bantuan kerajaan AS.

Trump malah mencadangkan agar Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE), yang sebelum ini pernah diketuai Musk, menyiasat semula jumlah subsidi yang diterima syarikat milik jutawan itu.

“Banyak wang boleh dijimatkan,” katanya lagi.

Untuk rekod, Elon Musk pernah menjadi antara individu paling rapat dengan Trump dan terlibat dalam pentadbirannya sebelum mengumumkan pengunduran pada Mei lalu.

Sejak itu, hubungan kedua-duanya semakin dingin dan kerap bertelagah di media sosial berhubung dasar ekonomi, tenaga serta perbelanjaan kerajaan.