Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan tindakan drastik terhadap Iran apabila mengarahkan sekatan laut di Selat Hormuz, susulan kegagalan rundingan berkaitan isu nuklear.

Dalam kenyataan di platform Truth Social, Trump berkata rundingan berjalan lancar dengan kebanyakan perkara dipersetujui, namun isu paling penting iaitu nuklear gagal mencapai kata sepakat.

“Jadi begitulah, pertemuan berjalan dengan baik, kebanyakan perkara telah dipersetujui, tetapi satu perkara yang paling penting, iaitu nuklear, tidak dapat dipersetujui.”

Menurut Trump, Tentera Laut Amerika Syarikat akan segera memulakan proses menyekat semua kapal yang cuba memasuki atau keluar dari Selat Hormuz.

“Berkuat kuasa serta-merta, Tentera Laut Amerika Syarikat… akan memulakan proses menyekat mana-mana kapal yang cuba masuk atau keluar dari Selat Hormuz.”

Trump turut menuduh Iran melakukan “pemerasan dunia” dengan mengenakan bayaran atau ancaman terhadap laluan kapal di kawasan strategik itu.

“Ini adalah pemerasan dunia… Amerika Syarikat tidak akan sesekali diperas.”

“Tiada sesiapa yang membayar tol haram akan diberikan laluan selamat di laut antarabangsa.”

Ketegangan turut memuncak apabila Trump memberi amaran keras terhadap sebarang tindakan ketenteraan oleh Iran.

“Mana-mana pihak Iran yang melepaskan tembakan ke arah kami atau kapal awam, akan dihancurkan!”

Donald Trump juga mendakwa keupayaan ketenteraan Iran telah lumpuh teruk akibat konflik berterusan.

“Tentera laut mereka sudah tiada, tentera udara mereka sudah tiada… semuanya kerana cita-cita nuklear mereka.”

Trump menegaskan sekatan tersebut akan bermula dalam masa terdekat dengan penglibatan beberapa negara lain, selain memberi bayangan kemungkinan tindakan ketenteraan lanjut.

“Pada waktu yang sesuai, kami sudah ‘bersiap siaga sepenuhnya,’ dan tentera kami akan menghabiskan apa yang tinggal daripada Iran!”

Situasi ini dijangka meningkatkan lagi ketegangan geopolitik di Timur Tengah, khususnya melibatkan laluan perdagangan minyak global yang kritikal di Selat Hormuz.