Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mencetuskan kontroversi apabila membayangkan kemungkinan berlakunya “pengambilalihan secara mesra” terhadap Cuba ketika ketegangan antara Washington dan Havana terus memuncak.
AS dan sekutunta Isr*el baru sahaja melancarkan operasi ketenteraan di Iran. Dan kini AS sedang mensasarkan Cuba atas alasan mahu menyelammatkan negara itu daripada krisis ekonomi yang meruncing.
Trump berkata: “Mereka dalam masalah besar. Tiada wang, tiada apa-apa sekarang. Tapi mereka sedang bercakap dengan kita dan mungkin kita akan ada ‘friendly takeover’ ke atas Cuba,” katanya di White House.
Trump turut memaklumkan bahawa Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, sedang berurusan dengan pegawai Cuba di “peringkat sangat tinggi”. Bagaimanapun, Havana menafikan wujud sebarang rundingan rasmi seperti yang didakwa.
Krisis Tenaga & Kemanusiaan Makin Parah
Sejak enam dekad lalu, Cuba bergantung kepada import minyak dari Kesatuan Soviet dan kemudian Venezuela. Namun keadaan berubah drastik apabila pemindahan bekalan minyak dari Venezuela terhenti.
Kekurangan bahan api menyebabkan hospital mengurangkan operasi, bekalan elektrik terputus setiap hari, manakala syarikat penerbangan menggantung penerbangan kerana ketiadaan bahan api jet. Industri pelancongan dan sektor pertanian yang merosot turut menambah tekanan kepada ekonomi negara itu.
Dalam perkembangan lain, Jabatan Perbendaharaan AS dilaporkan melonggarkan sekatan terhadap sektor swasta kecil Cuba bagi membolehkan import minyak mentah Venezuela.
Rubio sebelum ini menyatakan Washington mahu melihat pembukaan ekonomi dan politik di Cuba bagi memberi lebih kebebasan kepada rakyatnya.
“Rakyat Cuba perlu ada lebih kebebasan, bukan sahaja politik tetapi juga ekonomi. Pembukaan itu mesti berlaku,” kata Rubio.
Insiden Tembakan Meningkatkan Ketegangan
Ketegangan kedua-dua negara meningkat apabila pengawal pantai Cuba melepaskan tembakan ke arah sebuah bot laju yang didakwa cuba melakukan “penyusupan pengganas”. Empat individu dilaporkan maut manakala enam lagi ditahan.
Presiden Cuba, Miguel Diaz-Canel, menegaskan negaranya tidak akan berkompromi soal kedaulatan.
“Cuba tidak menyerang atau mengancam sesiapa. Kami akan mempertahankan kedaulatan dan kestabilan negara dengan tegas terhadap sebarang pencerobohan atau tindakan upahan,” katanya.
Apa Sebenarnya Maksud ‘Friendly Takeover’?
Cadangan “pengambilalihan secara mesra” yang disebut Trump menimbulkan persoalan besar di peringkat antarabangsa.
Secara asasnya, sebarang perubahan kuasa di Cuba akan berdepan halangan besar dari sudut undang-undang antarabangsa serta sensitiviti geopolitik, memandangkan sejarah panjang permusuhan antara kedua-dua negara.
Namun Trump kekal optimis bahawa perubahan sedang berlaku di negara pulau yang terletak hanya sekitar 90 batu dari Florida itu.
Persoalannya kini, adakah ia sekadar retorik politik, atau petanda perubahan besar bakal berlaku di Cuba?