Semalam kecoh di media massa susulan tugu yang didakwa mempunyai simbol ‘Freemason’ di Bandar Tasik Senangin telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan majoriti penduduk Muslim setempat.
Tugu tersebut dilaporkan telah dibina tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) kira-kira dua minggu yang lalu.
Rentetan daripada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin berkongsi penduduk menyuarakan kebimbangan kepada beliau mengenai tugu itu, yang dikhuatiri boleh mencetuskan salah faham dan suasana tegang di kawasan mereka.

Sebagai respons, beliau menegaskan sudah mengambil tindakan dengan memanggil penguatkuasa tempatan bagi meredakan ketegangan terbabit.
Dalam pada itu, beliau sempat mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa kerana telah bertindak dengan pantas dan percaya sokongan rakyat setempat akan memberi kekuatan dalam memperjuangkan hak rakyat kawasan di bawah jagaannya.
“Kepada penduduk Bandar Tasik Senangin, Insyallah, saya sentiasa perjuangkan kebaikan rakyat kawasan saya.
Sokongan dari rakyat memberi kekuatan kepada saya.
“Terima kasih kepada penguatkuasa Majlis Bandaraya Seremban dan juga @pdrm Lenggeng kerana pantas bertindak,” tulisnya di akaun peribadia Facebooknya.

Terdapat notis halangan awam di bawah Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 dikeluarkan dan kawasan itu ditutup bagi menghalang sebarang penambahan bangunan.