Tujuh buah universiti dari Malaysia tersenarai dalam sepuluh teratas universiti terbaik di seluruh Asia Tenggara bagi tahun 2025.

Senarai itu dikongsikan QS World University Rankings yang merangkumi universiti dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, dan Filipina, yang mencerminkan kepentingan rantau ini yang semakin meningkat dalam pendidikan tinggi.

Baca Juga:

Penarafan itu dibuat berdasarkan beberapa faktor utama untuk menilai universiti seperti reputasi akademik, reputasi majikan, nisbah pelajar-fakulti, nisbah pelajar antarabangsa dan faktor-faktor lain.

Dua universiti terkemuka dari Singapura menduduki tempat teratas dalam senarai, Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Universiti Teknologi Nanyang, Singapura (NTU Singapura).

Kemudian diikuti tujuh buah universiti tersohor dari Malaysia iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Univesiti Teknologi Malaysia (UTM), Taylor’s University, Universiti Sains Malaysia (USM) dan UCSI University.

Di tangga kesepuluh merupakan institusi pendidikan tinggi tertua dari Indonesia, Universitas Indonesia.

QS World University Rankings ialah sistem penarafan universiti global yang diterbitkan setiap tahun oleh Quacquarelli Symonds (QS), sebuah syarikat analisis pendidikan tinggi yang berpangkalan di United Kingdom.

Ia merupakan salah satu sistem penarafan universiti yang paling terkenal dan sering digunakan di seluruh dunia.