Netizen dikejutkan dengan satu video tular yang merakam beberapa pelajar universiti mendedahkan jumlah elaun bulanan yang mereka dapat.
Video tersebut, yang dimuat naik oleh pencipta kandungan bernama Cha Loud (@scholarzzz), telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, yang terkejut dengan jumlah wang saku yang diterima oleh pelajar zaman sekarang berbanding dahulu.
Dalam video itu, Cha Loud bertanya kepada beberapa pelajar universiti mengenai jumlah elaun bulanan yang mereka terima.
Kebanyakan pelajar memberikan jumlah yang dianggap munasabah, tetapi dua pelajar menarik perhatian ramai dengan angka yang jauh lebih tinggi.
Seorang pelajar mendedahkan bahawa dia menerima elaun bulanan sebanyak RM10,000, manakala seorang lagi menyatakan bahawa dia mendapat antara RM5,000 hingga RM7,000 sebulan.
Cha Loud juga sempat bertanya kepada kedua-dua pelajar tersebut, berapa jumlah elaun yang mereka anggap mencukupi untuk hidup selesa sebagai pelajar?
Pelajar yang menerima antara RM5,000 hingga RM7,000 berkata, dia merasakan sekurang-kurangnya RM3,000 sudah cukup untuk hidup dengan selesa setiap bulan.
Netizen tidak mampu menahan rasa terkejut melihat jumlah elaun yang diterima oleh pelajar zaman sekarang.
Ramai yang berkongsi pengalaman mereka sendiri sambil membandingkan elaun yang diterima dulu dengan apa yang didedahkan dalam video itu.
Ada juga netizen yang mempersoal bagaimana mereka dapat hidup dengan elaun yang kecil ketika zaman belajar dulu.
‘Aku tak tahu macam mana aku survive dengan RM200 sebulan masa zaman kolej dulu, tapi cukup juga selama ni,’ kata seorang netizen.
Selepas melihat reaksi ramai, Cha Loud tampil menjelaskan situasi sebenar dalam satu lagi video susulan.
Menurutnya, pelajar yang mengatakan dia menerima RM10,000 sebenarnya tersalah dengar soalan.
Pelajar tersebut menyangka bahawa soalan Cha Loud merujuk kepada jumlah elaun untuk satu semester, bukan sebulan.
Cha Loud juga menambah bahawa pelajar berkenaan berasal dari Sabah, dan dia perlu membelanjakan sebahagian besar wang elaunnya untuk tambang penerbangan pulang ke kampung.
Cha Loud turut mengecam netizen yang terus menerus mengorek dan mempersoalkan jumlah elaun yang diterima oleh pelajar-pelajar itu.
Katanya, setiap pelajar berhak menerima apa sahaja jumlah yang ibu bapa mereka mampu berikan.