Sektor pendidikan tinggi negara sekali lagi melakar sejarah dan membuktikan keupayaan sedia ada apabila lima universiti Malaysia berjaya memecah masuk dan mendominasi kelompok 10 universiti terbaik di Asia Tenggara.

Menerusi data terbaharu yang dikeluarkan oleh QS World University Rankings (QS WUR) 2027, pencapaian ini secara tidak langsung mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan unggul dan kompetitif di peringkat serantau.

Berdasarkan infografik rasmi yang dikongsikan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Universiti Malaya (UM) kekal menjadi pendahulu bagi universiti tempatan apabila berjaya menduduki kedudukan ke-56 dunia, sekaligus meletakkannya sebaris dengan institusi elit global yang lain.

Dominasi Universiti Awam Tempatan

Apa yang lebih membanggakan, reputasi ini bukan sahaja dipikul oleh UM, malah empat lagi Universiti Penyelidikan (RU) tempatan turut menunjukkan kehebatan masing-masing.

Berikut adalah senarai kedudukan penuh 5 universiti Malaysia yang berada dalam kelompok Top 10 Asia Tenggara beserta kedudukan global mereka:

1. Universiti Malaya (UM) – Kedudukan Dunia: #56

2. Universiti Sains Malaysia (USM) – Kedudukan Dunia: #128

3. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – Kedudukan Dunia: #130

4. Universiti Putra Malaysia (UPM) – Kedudukan Dunia: #138

5. Universiti Teknologi Malaysia (UTM) – Kedudukan Dunia: #158

Jika dilihat secara keseluruhan carta, Malaysia sebenarnya memegang jumlah wakil terbanyak dalam kelompok 10 terbaik serantau ini mendahului negara jiran seperti Singapura (2 universiti), Indonesia (2 universiti), dan Thailand (1 universiti).

Dua kedudukan teratas di rantau ini diisytiharkan milik National University of Singapore (NUS) di tangga ke-10 dunia dan Nanyang Technological University (NTU) di tangga ke-12 dunia.

Bukti Kualiti Pendidikan Negara Meningkat

Pencapaian luar biasa ini bukanlah sesuatu yang datang bergolek. Ia adalah bukti nyata terhadap komitmen berterusan, keupayaan institusi, serta kerja keras seluruh warga akademik dalam memacu kecemerlangan akademik, impak penyelidikan berimpak tinggi, inovasi, serta pembangunan modal insan yang berkualiti.

“Tahniah kepada seluruh warga universiti atas kejayaan yang membanggakan ini. Semoga pencapaian ini terus menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh kecemerlangan pendidikan tinggi Malaysia serta mengangkat nama negara sebagai hab pendidikan unggul di rantau Asia Tenggara,” kata Kementerian Pendidikan Tinggi.