Kekecohan berlaku di media sosial Platform X setelah tularnya beberapa imej yang didakwa memaparkan gambar Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, muncul dalam iklan bersama beberapa tokoh pemimpin dunia lain di bandar raya Tel Aviv, Israel.

Poster tersebut memaparkan Prabowo berdiri di samping beberapa tokoh utama, termasuk Presiden AS Donald Trump, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, dan beberapa Pemimpin Negara Arab. Ia juga memuatkan mesej, ‘Israel Says Yes to Trump Plan. GET IT DONE’.

Difahamkan, papan iklan tersebut adalah inisiatif daripada Abraham Shield, sebuah kempen yang dilancarkan oleh The Israeli Coalition for Regional Security. Tujuan kempen ini adalah untuk mendesak kerajaan menyokong inisiatif Trump bagi menamatkan konflik di Gaza.

Kejadian itu segera mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna platform berkenaan, terutamanya di kalangan warganet Indonesia.

Ramai lebih kepada membidas akan tindakan tersebut kerana kerajaan haram itu tidak pernah mendapat dokongan oleh warga tempatan apatah lagi ada cubaan untuk pengikdirafan pula.

Kemunculan papan iklan itu difahamkan berlaku sejurus selepas Prabowo selesai berpidato pada sidang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diadakan baru-baru ini.

Tidak mahu terus diserang oleh warga maya, Kementerian Luar Negeri (Kemlu) RI telah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung tularnya foto Presiden RI Prabowo Subianto yang terpapar pada baliho Abraham Shield di Israel.

Kemlu RI menegaskan bahawa pendirian dasar luar negara Indonesia kekal tidak berganjak. Indonesia tidak akan pernah mengakui Israel dan tidak akan melakukan normalisasi hubungan diplomatik.

Normalisasi hanya akan dipertimbangkan jika Israel terlebih dahulu mengiktiraf dan bersetuju dengan penubuhan negara Palestin yang merdeka.

Kenyataan tegas Kemlu RI ini sekaligus meredakan spekulasi dan menegaskan komitmen Indonesia yang konsisten terhadap perjuangan Palestin, tanpa terjejas oleh kemunculan foto pemimpinnya dalam kempen di Israel.