Beberapa hari lalu tular sebuah video yang memaparkan sebuah bot kecil yang membawa ‘ayam segar’ iaitu panggilan untuk wanita yang menawarkan khidmat seks.

Video tersebut yang mulanya tular di Twitter kini mula merebak di Facebook dengan pelbagai pandangan dilontarkan oleh pihak netizen.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Isu ini turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq yang bertanya adakah situasi ini normal untuk mereka yang bekerja di atas kapal atau luar pesisir.

“Saya tak tahu jika ini normal untuk orang yang bekerja di offshore tapi ini boleh jadi human trafficking.

Diseludup dalam bot sempit, bersesak macam sardin bawah bot tengah2 malam, gelap, tanpa jaket keselamatan. Kalau bot karam? Apa nasib mereka?” Tanya Syed Saddiq di laman Twitter miliknya.

Bukan Syed Saddiq sahaja yang bertanya, tetapi kebanyakan netizen turut bertanyakan soal yang sama.

Melalui sebuah perkongsian yang dibuat oleh seorang lelaki di Twitter dengan nama @TotallyMejah, difahamkan bahawa kejadian tersebut sebenarnya berlaku di atas kapal tangki dan lokasi kejadian tersebut tidak diketahui di mana.

Menurut penjelasan beliau lagi, kejadian ini merupakan kes terpencil kerana setiap kapal telah diwajibkan untuk mengikut undang-undang antarabangsa yang dipanggil International Ship and Port Facility Security Code (ISPS).

Ia adalah satu undang-undang yang telah dikuatkuasakan sejak kejadian 11 September 2001 di Amerika Syarikat yang menetapkan prosedur operasi standard bagi memastikan keselamatan kapal luar persisir terjaga.

Dengan mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh ISPS, orang luar yang tidak mempunyai kepentingan terhadap kapal tidak boleh dengan sewenang-wenangnya naik ke atas kapal kerana ia melanggar undang-undang yang telah ditetapkan oleh ISPS.

Bagi beliau video yang telah ditularkan tersebut sebenarnya tidak lengkap dan tidak memberikan info yang lebih terperinci kerana boleh jadi wanita-wanita tersebut adalah pekerja kapal tersebut yang baru pulang dari darat.

Selain penjelasan beliau, beberapa netizen yang mempunyai pengalaman bekerja di luar pesisir turut memberikan pandangan mereka.