Kehadiran mantan Perdana Menteri, YABhg. Tun Dr Mahathir Mohamad di Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2026 yang berlangsung di Dataran Putrajaya pagi tadi mencuri tumpuan ramai.
Beliau yang kini berusia 101 tahun dilihat hadir berkerusi roda dan memilih untuk berada di kawasan awam bersama orang ramai.
Netizen kemudian turut mempersoalkan kenapa Tun M tidak berada di pentas VIP bersama tetamu kehormat lain? Terutama sekali Tun M adalah seorang negarawan dan juga pemimpin yang dianggap penting dalam pembinaan Putrajaya.
Penjelasan Kementerian Komunikasi
Bagi mengelakkan sebarang salah faham, Kementerian Komunikasi menerusi Urus Setia Sambutan Hari Kebangsaan 2026 tampil memberikan penjelasan berhubung tatacara pengurusan jemputan majlis rasmi kerajaan.
“Sehubungan itu, Urus Setia ingin menjelaskan bahawa berdasarkan pengesahan Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa (BIUPA), Jabatan Perdana Menteri, yang menguruskan jemputan bagi acara-acara rasmi utama Kerajaan Persekutuan, terdapat tatacara pengurusan jemputan yang berkuat kuasa bagi Sambutan Hari Kebangsaan,” tegas kenyataan itu.
Pihak urus setia menjelaskan bahawa surat jemputan ke sambutan utama tidak dipanjang secara automatik kepada mana-mana bekas pemimpin sejak beberapa tahun lalu.
Biarpun Berkerusi Roda, Tun M Tetap Hadir Sambutan Hari Kebangsaan #mgflash
Kecintaan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap negara tidak boleh digambar dengan kata-kata.
Biarpun berkerusi roda, negarawan yang kini berusia 101 tahun, tetap hadir untuk… pic.twitter.com/roVXhJKU3o
— Malaysia Gazette (@MalaysiaGazette) August 31, 2026
“Berdasarkan amalan sejak tahun 2018, jemputan ke Sambutan Hari Kebangsaan tidak dipanjang secara automatik kepada mantan Perdana Menteri.
“Walau bagaimanapun, kehadiran mana-mana bekas pemimpin tidak dihalang dan boleh diuruskan melalui permohonan pihak berkenaan, selaras dengan tatacara serta pengurusan jemputan rasmi yang ditetapkan.”
Kelulusan Berehat Ke Luar Negara
Selain faktor tatacara jemputan, pihak Urus Setia turut memaklumkan bahawa Pejabat Perdana Menteri sebelum ini telah menerima dan meluluskan permohonan cuti berehat ke luar negara buat Tun Dr Mahathir bagi tempoh berkenaan.
“Pada masa sama, pihak Urus Setia turut menerima makluman daripada Pejabat Perdana Menteri yang memaklumkan bahawa YABhg. Tun Dr Mahathir akan ke luar negara dari 28 hingga 31 Ogos 2026 berdasarkan permohonan Kemudahan Berehat ke Luar Negara yang telah diterima dan diluluskan oleh YAB Perdana Menteri, selaras dengan ketentuan Saraan Bekas Perdana Menteri di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 [Akta 237].
[Kenyataan media]
Penjelasan berhubung tatacara jemputan ke Sambutan Hari Kebangsaan 2026#HKHM2026#KesejahteraanDinikmati#MalaysiaMADANI#JabatanPenerangan pic.twitter.com/BL6VqeB3v0
— Jabatan Penerangan Malaysia ❤️🇲🇾 (@JPenerangan) August 31, 2026
Penjelasan rasmi tersebut dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, Datuk Abdul Halim Hamzah, yang merakamkan penghargaan atas kefahaman semua pihak.
“Urus Setia Sambutan Hari Kebangsaan 2026 merakamkan penghargaan atas perhatian dan pemahaman semua pihak,” tutup kenyataan itu.