Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meluahkan kekecewaan dan kebimbangannya terhadap penggunaan meluas tulisan Cina di sebuah kompleks beli-belah Kuala Lumpur.

Memetik Astro Awani, Tun Mahathir menceritakan semula pengalamannya ketika mengunjungi salah satu pusat beli-belah baharu di ibu negara pada hujung minggu.

Beliau memuji kompleks tersebut sebagai menarik dan lebih hebat daripada di London atau Tokyo.

Namun, beliau menegaskan kehadiran ketara tulisan Cina di papan tanda, yang menurutnya mengatasi penggunaan Bahasa Kebangsaan, iaitu Bahasa Melayu.

“Saya tiba-tiba rasa seperti berada di China.

“Semua papan tanda menggunakan tulisan Cina dengan terjemahan Bahasa Inggeris. Tiada langsung dalam Bahasa Melayu. Langsung tiada,” ujarnya.

Dr Mahathir lalu mempersoalkan sama ada keadaan ini mencerminkan penghakisan identiti kebangsaan Malaysia pada ketika ini.

“Jadi, adakah ini Malaysia? Atau kita telah menjadi sebahagian daripada China?,” soal beliau.

Walaupun mengakui amalan global yang menggunakan terjemahan bahasa Inggeris pada papan tanda demi kemudahan pelancong, beliau meluahkan kebimbangan terhadap saiz dan keutamaan tulisan Cina yang terlalu ketara di ibu kota.

Malah beliau juga dimaklumkan sesetengah media di China merujuk Malaysia sebagai China Kecil.

“Mungkin ini kerana kita menerima ramai pelawat dari China,” tambah beliau.

Namun, walaupun terjemahan itu bermanfaat, ia tidak seharusnya mengatasi Bahasa Kebangsaan. “Bahasa Kebangsaan kita ialah Bahasa Melayu,” tegasnya.

Sebelum ini, Malaysia menyaksikan peningkatan ketibaan pelancong dari China pada tahun 2024, dengan jumlah ketibaan mencapai 1,449,711 orang setakat Jun.

Ini merupakan peningkatan sebanyak 190.8% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023, yang mencatatkan 498,540 ketibaan, menurut laporan dari Tourism Malaysia.

Lonjakan ketibaan pelancong ini sebahagian besarnya didorong oleh program melancong tanpa visa untuk rakyat China, yang berkuat kuasa dari 1 Disember 2023 hingga 31 Disember 2026.

Pelancong dari China, yang kini merupakan antara kumpulan pelancong terbesar ke negara ini, semakin tertarik untuk melancong ke Malaysia berikutan kemudahan dan akses yang lebih mudah.

Ditambah pula ada warga tempatan yang boleh berbahasa Mandarin juga membuatkan mereka bertambah selesa untuk datang ke sini.