Royal Johor menempah tempat ke pentas final Kejohanan Polo Johor Super Crown selepas menewaskan JCorp 9-5 pada aksi separuh akhir di Royal Johor Polo Club, Istana Pasir Pelangi, semalam

Hatrik daripada Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor, selain satu lagi hatrik yang diledakkan Pablo ‘Polito’ Pieres membantu Royal Johor mencatat kemenangan bergaya ke atas JCorp.

Perlawanan bermula dengan aksi bertenaga pada chukka pertama apabila Juan Martin Nero membuka jaringan sebelum Gasto Carozzo menggandakan kelebihan Royal Johor. Gonzalo ‘Gonzalito’ Pieres kemudian merapatkan jurang buat JCorp.

Polito selepas itu meledak dua gol buat Royal Johor, manakala Marcos ‘Cacu’ Araya dan Gonzalito masing-masing menjaringkan satu gol untuk JCorp dalam aksi pembukaan yang berlangsung sengit.

Nero sekali lagi menemui sasaran pada chukka ketiga sebelum Gonzalito membalas buat JCorp, sekali gus memberikan Royal Johor kelebihan 5-3 pada waktu rehat.

Tunku Mahkota Ismail turun beraksi pada chukka keempat dan melebarkan kelebihan Royal Johor menerusi gol pertamanya.

Tunku Mahkota Ismail Ledak Hatrik Untuk Bantu Skuad Polo Royal Johor Ke Final
Kredit Foto: The Royal Johor

Royal Johor terus mendominasi permainan apabila Polito menjaringkan dua gol pada chukka kelima.

Tunku Mahkota Ismail kemudian melengkapkan hatriknya menerusi dua gol, termasuk satu rembatan jarak jauh dari 60 ela, untuk menjadikan kedudukan 9-3.

JCorp cuba melakukan kebangkitan pada penghujung perlawanan menerusi Datuk Quzier Ambak yang menyempurnakan satu peluang lewat, namun Royal Johor kekal tenang untuk memastikan kemenangan 9-5.

Royal Johor akan berdepan Temasek pada aksi final yang bakal berlangsung hari ini.