Pemain pertahanan muda Terengganu, Ubaidullah Shamsul Fazili terpaksa berehat seketika setelah mengalami kecederaan lutut ketika perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) minggu lalu.

Pemain yang mesra dipanggil Ubai itu mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) tahap satu yang mana beliau harus berehat satu hingga dua bulan.

Baca Juga:

Mujur kecederaan tersebut tidak memerlukan Ubai untuk menjalani pembedahan sebaliknya beliau hanya perlu menjalani proses pemulihan seperti biasa.

Bercakap kepada The Star, pemain berusia 20 tahun itu enggan menyalahkan keadaan padang SNBJ yang tidak rata ketika aksi final dan menurut beliau kecederaan adalah satu perkara biasa dalam bola sepak.

“Saya tidak menyalahkan padang. Mungkin nasib saya tidak begitu baik kerana kecederaan ini berlaku ketika perlawanan akhir.

“Saya sememangnya risau. Saya kembali bermain selepas kejadian itu tetapi berfikir lebih baik saya tidak terlalu agresif ketika permainan.

“Saya tidak mahu berehat terlalu lama kerana saya masih muda, saya masih mempunyai ruang untuk meningkatkan kualiti. Saya mahu menjadi lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Ketua jurulatih Terengganu, Tomislav Steinbrückner meletakkan Ubaidullah di posisi pertahanan kiri sekaligus berhadapan dengan Arif Aiman dalam perlawanan tersebut.

Pada separuh masa kedua, Ubai bertembung dengan penjaga gol pasukan, Suhaimi Hussin dan pertembungan itu memberi kesan terhadap lutut kanan beliau.

Terengganu terpaksa menunggu untuk menjulang trofi Piala Malaysia yang kali terakhir dimenangi pada 2001 setelah tewas dengan keputusan 3-1 dalam perlawanan akhir edisi musim ini.