‘Ubi muda’ Johor Darul Ta’zim (JDT) membuktikan kualiti yang dimiliki oleh mereka apabila berpesta gol membelasah pasukan Akademi Bola Sepak Perancis (FFF Academy) bawah 15 tahun dalam saingan Liga Remaja Singapura hari ini.

Ia adalah kemenangan ketiga terbesar mereka dalam kejohanan itu selepas menewaskan Woodland FC, 24-0 dan Tasek Sailors East, 19-0.

Baca Juga:

Sebelum ini, mereka juga melakar kejutan apabila mengalahkan pasukan Akademi Barcelona dengan jaringan 3-0.

JDT satu-satunya wakil Malaysia beraksi dalam Liga Remaja Singapura yang disertai oleh 32 pasukan bawah 15 tahun. Selepas sembilan perlawanan, pasukan muda JDT itu sudah menjaringkan 92 gol dan hanya bolos empat gol sahaja.

Barisan pemain skuad B-15 JDT. FOTO: JST

Selepas ini, mereka akan menentang East Coast United FA pada 4 Mei dan hanya memerlukan keputusan seri untuk muncul sebagai pasukan nombor satu di dalam Kumpulan B.

Liga Remaja Singapura menjadi medan untuk pemain muda JDT menimba pengalaman dan mendapatkan pendedahan dalam perlawanan kompetitif bersaing dengan kelab dari negara lain.

Selain B-15, JDT turut menghantar pasukan B-13 ke Liga Remaja Singapura. Skuad JDT B-13 juga cemerlang mencatat 6 kemenangan tanpa kalah dan kini menghuni kedudukan nombor satu dalam kumpulan C.

Kejayaan itu seakan-akan memberi harapan baharu kepada masa hadapan bola sepak negara kerana pemain muda berkualiti kini sedang dilahirkan oleh Akademi JDT yang serba lengkap dan profesional.