Kelab gergasi tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) semalam telah memperkenalkan jersi baharu bagi saingan Liga Super 2024-25 dan Liga Juara-Juara Asia Elit di Stadium Sultan Ibrahim.

Malah, peminat bola sepak tempatan turut menzahirkan rasa kagum dan memuji video pengenalan jersi JDT yang dimuat naik menerusi laman sosial Johor Southern Tiger.

Baca Juga:

Menurut mereka, video yang menampilkan bintang Harimau Selatan itu adalah yang paling terbaik setakat ini dan setaraf antarabangsa!

Rasanya belum ada lagi mana-mana kelab bola sepak Malaysia mengeluarkan video pengenalan jersi sehebat JDT ini.

Jersi baharu JDT kali ini menampilkan dua rekaan yang tampak lebih eksklusif berwarna biru dan merah sebagai identiti negeri Johor untuk beraksi di gelanggang keramat mereka.

Manakala jersi ‘AWAY’ ketika beraksi di gelanggang lawan berwarna putih.

“Jersi tuan rumah bagi musim kali ini terus mengekalkan warna tradisi bendera Johor iaitu merah dan biru. Ia tampil dengan warna biru sebagai warna utama, diselangi jalur berwarna merah di bahagian hadapan dan belakang, serta kolar bulat dan terdapat jalur merah di bahagian hujung lengan.

“Bagi jersi gelanggang lawan, JDT kekal dengan warna putih sebagai warna utama di samping terdapat jalur merah di bahagian lengan dan juga leher jersi.

“Harga bagi kedua-dua jersi ini dijual pada harga RM299 sehelai dan lebih menarik jersi khas untuk penyokong golongan wanita turut dijual dengan harga yang sama. Atas permintaan ramai, Nike menambah saiz jersi sehingga saiz 3XL,” menurut kenyataan rasmi.

Terdapat juga ciri unik yang membezakan dengan jersi terdahulu iaitu nama Harimau Selatan di bahagian dalam belakang jersi itu dan mengekalkan teknologi tinggi iaitu ‘Nike Dri-Fit.’

Minggu lalu, mereka melancarkan jersi ketiga yang menampilkan kelainan dengan menggunakan warna hijau sebagai warna utama.