Paris Saint-Germain (PSG) membawa kelebihan tipis menjelang aksi kedua separuh akhir UEFA Champions League (UCL) 2024/25 selepas menang 1-0 ke atas Arsenal di Emirates Stadium sebentar tadi.
Kemenangan penting itu hadir menerusi jaringan awal yang dicipta Ousmane Dembele dan ketangkasan penjaga gol, Gianluigi Donnarumma dalam menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya dijelmakan pemain tuan rumah.
Baca Juga:
- Previu Arsenal vs PSG: Enrique Kecewa Media Perancis Lebih Suka PSG Kalah
- Presiden PSG Ucap Tahniah Kepada JDT Dan Tunku Ismail
- ‘Baru Saya Tahu Betapa Besarnya Arsenal’, Ini Pengakuan Jujur Hector Bellerin
Ketika aksi hanya empat minit berlangsung, Dembele menceriakan kem PSG dengan percubaan dalam kawasan penalti yang gagal diselamatkan David Raya selepas beliau mendapat umpanan pemain sayap lincah, Khvicha Kvaratskhelia.
Jaringan itu jelas meningkatkan moral barisan pemain PSG untuk terus mengatur asakan dan Marquinhos menguji gawang Arsenal pada minit ke-13.
Berpunca daripada hantaran jauh Achraf Hakimi, kapten PSG itu melonjak tinggi untuk melakukan tandukan ke arah pintu gol lawan, namun Raya dengan tenang menangkap kemas percubaan tersebut.
Raya terus menjadi penghalang untuk PSG menambah jaringan apabila dua kali beliau menyelamatkan percubaan leret daripada Kvaratskhelia dan Desire Doue.
Ketika aksi babak pertama berbaki kira-kira lima minit untuk ditamatkan, barisan pemain Arsenal meningkatkan intensiti dalam memberikan tekanan untuk memburu jaringan.
Bagaimanapun, Donnarumma dan barisan pertahanan PSG cukup kental bertahan dalam menyerap tekanan hebat itu.
Sebaik sahaja aksi babak kedua bersambung, Mikel Merino menceriakan stadium dengan tandukan yang membolosi gawang lawan.
Namun, jaringan pada minit ke-47 itu dibatalkan selepas rujukan Video Assistant Referee (VAR) mengesan pemain kelahiran Sepanyol itu berada dalam kedudukan ofsaid.
Selepas itu Arsenal mendapat beberapa peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan tetapi Donnarumma cemerlang dalam menafikan percubaan dicipta Arsenal.
PSG juga mendapat peluang terbaik pada lewat aksi tetapi tolakan leret Bradley Barcola hanya sedikit tersasar ketika Raya sudah pun terpaku manakala percubaan Goncalo Ramos pula sekadar singgah di palang gol.