UEFA memperkenalkan satu inovasi baharu dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah musim 2026/27 apabila pemain yang membuat penampilan pertama dalam pertandingan itu akan memakai tampalan khas pada jersi mereka.
Tampalan yang dikenali sebagai ‘Debut Patch’ itu akan diletakkan pada bahagian lengan jersi pemain. Ia memaparkan perkataan ‘debut’ bersama logo ikonik Liga Juara-Juara.
Namun, tampalan itu bukan sekadar untuk menandakan pemain berkenaan baru pertama kali beraksi dalam pertandingan paling berprestij Eropah tersebut.
Selepas perlawanan, tampalan atau patch berkenaan akan ditanggalkan daripada jersi dan dihantar kepada Topps, syarikat kad koleksi milik Fanatics.
Topps kemudian akan menggunakan tampalan yang telah dipakai pemain itu dalam perlawanan untuk menghasilkan kad koleksi unik yang akan ditandatangani sendiri oleh pemain berkenaan.
Maksudnya, seorang pemain yang membuat debut Liga Juara-Juara akan mempunyai satu kad khas yang mengandungi sebahagian daripada jersi yang dipakainya ketika detik bersejarah tersebut.
Pemain yang masuk sebagai pemain gantian turut layak menerima Debut Patch sekiranya mereka beraksi buat kali pertama.
A special debut patch has been introduced for players making their first-ever #UCL appearance! After the match, the patch will be removed from the player’s shirt and placed inside a unique 1-of-1 autographed Topps trading card. https://t.co/jQKYd1xPYA pic.twitter.com/owOIIEg5jL
— UEFA Champions League (@ChampionsLeague) September 2, 2026
Sebaliknya, pemain yang hanya berada di bangku simpanan tanpa diturunkan perlu menunggu sehingga penampilan sebenar mereka untuk mendapatkan tampalan tersebut.
Program ini merupakan sebahagian daripada lanjutan kerjasama UEFA dan Fanatics yang merangkumi produk kad koleksi, pelekat serta permainan kad bagi pertandingan kelab UEFA.
Antara pemain yang berpotensi menjadi penerima awal Debut Patch musim ini termasuk Carlos Baleba bersama Manchester United serta beberapa pemain baharu yang bakal membuat penampilan pertama mereka dalam Liga Juara-Juara.
Jadi selepas ini, debut Liga Juara-Juara bukan sahaja akan menjadi detik bersejarah buat pemain.
Jersi mereka juga boleh bertukar menjadi barang koleksi yang sangat langka untuk ditemui.