Pelajar China memilih untuk belajar di universiti di Malaysia dan Asia Tenggara yang lain, disebabkan persekitaran yang kurang kompetitif dan kos pengajian yang lebih rendah jika dibandingkan dengan negara lain, kata satu laporan.
Menurut South China Morning Post (SCMP), negara paling popular untuk pelajar dari China belajar di luar negara masih AS, UK, Singapura dan Hong Kong kerana kedudukan tinggi universiti, tetapi ia semakin kurang menjadi pilihan kerana syarat yang ditetapkan untuk masuk ke universiti-universiti ini semakin sukar.
Baca Juga:
- Hadir Ke Sukan Asia Di China, Penonton Badminton Bersorak Lihat Lee Chong Wei
- Pelancong China Terkejut Jumpa Kamera Tersembunyi Di Dalam Bilik Hotel Di Sabah
- Rakyat Malaysia ‘Koyak’, Pelancong China Kata Nasi Lemak Hidangan Yang Tak Sedap
SCMP berkata semakin ramai pelajar di China tertarik ke universiti di Asia Tenggara disebabkan kos yang lebih rendah dan persaingan yang kurang sengit yang ditawarkan. Ramai yang memilih Malaysia, Thailand dan Filipina untuk pengajian pasca siswazah mereka dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurut SCMP, platform media sosial China Xiaohongshu — yang serupa dengan Instagram — mencatatkan carian tinggi daripada pengguna tentang belajar di Malaysia melebihi bilangan carian untuk beberapa negara Barat yang bukan berbahasa Inggeris seperti Perancis dan Jerman.
Ketua Persatuan Perkhidmatan Pengajian Luar Negara Beijing Sang Mingze berkata, “Hampir semua pelajar Cina di Asia Tenggara pergi ke Malaysia, Thailand dan Filipina jika mereka tidak berada di Singapura.”
Tambah Sang, pelajar China yang memohon ke universiti di negara-negara ini terutamanya untuk ijazah pascasiswazah mempunyai masalah yang agak sama, di mana mereka tidak berpuas hati dengan keadaan semasa “tetapi mempunyai bajet yang terhad”.