University of Nottingham (UNM) menepati ramalan awal apabila cemerlang menjuarai Liga Futsal Institut Pengajian Tinggi (IPT) Karnival Borneo 2024, sebentar tadi.

Beraksi menentang Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang merupakan tuan rumah kejohanan tersebut tidak langsung merentap semangat juang anak buah Faiq Faudzil untuk menampilkan aksi bertenaga pada perlawanan akhir.

Ia jelas dibuktikan dengan kejayaan mereka menundukkan UMS dengan keputusan 4-1 hasil jaringan Ahmadan Zulhabiri, Danish Faiz Hashim, Muhammad Nur Syafaren Mohd Rashid dan Razsufi Jesferman.

Kejayaan yang turut menyaksikan UNM mencatatkan rekod kemenangan bersih sepanjang lima perlawanan dilalui.

Lebih manis buat Danish Faiz apabila beliau dinobatkan sebagai ‘Pemain Terbaik Kejohanan’ serta penjaring terbanyak dengan lapan gol dihasilkannya.

UNM Ungguli Liga Futsal IPT Karnival Borneo 2024
Danish Faiz (tengah) bersama Encik Zharif dari Extravaganza Futsal Shop (EFS) yang merupakan antara rakan strategik kejohanan dan Encik Asyraf Fitri Asbollah (Pengarah Liga Futsal IPT 2024).

Tempat ketiga pula menjadi milik UiTM Sabah yang menundukkan UMS Kampus Labuan 6-4 pada aksi penentuan Ke-3/4.

Berpangkalan di Semenyih, UNM merupakan satu-satunya pasukan dari Semenanjung yang menyertai kejohanan ini.

Selain empat pasukan tangga teratas yang dinyatakan, empat lagi pasukan bertanding ialah Kolej Komuniti Malaysia (Borneo), UMS Kampus Sandakan, Management and Science University (MSU) Kamus Sabah dan University College Sabah Foundation (UCSF).

Tumpuan bagi saingan Liga IPT 2024 akan beralih ke Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada Oktober nanti dimana fasa ketiga akan berlangsung dan teka-teki juara saingan Liga Super, Premier dan kategori Wanita akan terjawab.

Liga Futsal IPT dikendalikan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selaku Pengurus Projek kejohanan dengan kerjasama Seksyen Sukan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).