Rakyat Malaysia dilaporkan perlu ada simpanan asas RM240,000 sebagai paras sasaran apabila mencapai usia bersara 55 tahun.

Memetik Buletin TV3, Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, jumlah itu mewakili anggaran RM1,000 sebulan untuk tempoh 20 tahun selepas usia bersara yang dianggap mencukupi untuk rakyat negara ini bersara dengan bermaruah.

Baca Juga:

“Jangka hayat rakyat Malaysia adalah sehingga 75 tahun dan mereka perlu ada dana persaraan yang mencukupi untuk bersara dengan bermaruah.

“Simpanan asas sebanyak RM240,000 cukup untuk menyara secara purata RM1,000 sebulan dan rakyat perlu memikir simpanan hari tua dengan kadar minimum itu,” katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Ahmad berkata, antara kaedah yang boleh digunakan untuk mencapai sasaran itu adalah dengan menyertai syarikat yang menawarkan gaji lebih tinggi, selain membuat caruman sukarela.

Mengulas lanjut, beliau menyarankan rakyat negara ini terutama yang bekerja dalam sektor tidak rasmi membuat caruman menerusi i-Saraan yang diperkenalkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Setakat Jun, lebih 500,000 rakyat Malaysia sudah mendaftar caruman sukarela itu dan kita sarankan lebih ramai menyertainya kerana selain menerima insentif, pencarum juga mendapat dividen bergantung jumlah caruman,” katanya selepas lawatan ke pejabat KWSP di sini.

Ahmad turut memuji usaha KWSP yang menyediakan kaunter bergerak dalam usaha menguar-uarkan mengenai caruman sukarela itu dengan masuk ke kawasan yang jauh dengan pejabat KWSP.

Beliau berkata, ia dapat menyebarkan maklumat terkini dan kemudahan yang disediakan KWSP untuk dimanfaatkan orang ramai.

Sumber