Seorang bekas guru dari Malaysia yang pernah mengajar di Singapura telah didakwa selepas seorang awam melaporkannya kepada polis kerana disyaki merakam video lelaki sedang mandi.
Polis menemui lebih banyak video tidak senonoh yang dirakam oleh suspek antara tahun 2010 dan 2022, mendedahkan sejauh mana perbuatan lucah dan songsangnya.

Memetik CNA, pada pagi 1 Jun 2022, tertuduh, Woo Weng Chuan, berada di amfiteater MacRitchie Reservoir bersama beberapa pelajar sebagai guru yang bertanggungjawab bagi aktiviti kokurikulum olahraga.
Semasa pelajar sedang menjalani latihan, Woo melihat beberapa lelaki sedang mandi di kawasan pancuran terbuka.
Dia kemudian mengeluarkan telefonnya dan mula merakam sambil berjalan di sekitar kawasan tersebut beberapa kali.
Seorang pejalan kaki ternampak Woo sedang merakam video lelaki telanjang yang sedang mandi. Dia segera menghubungi polis dan Woo telah ditahan.
Pertuduhan menunjukkan bahawa Woo telah melakukan perbuatan yang sama sebanyak sembilan kali di MacRitchie Reservoir antara 3 Januari 2022 dan 1 Jun 2022.
Selepas Woo ditahan, polis menyerbu rumahnya dan menemui 10 video yang dirakam antara 14 April dan 30 Mei 2022. Video-video tersebut menunjukkan lelaki berbogel sebahagian atau sepenuhnya di bilik persalinan dan kawasan mandi sauna, yang dirakam tanpa kebenaran mereka.
Satu cakera keras turut mengandungi 30 video, yang dirakam antara 23 Disember 2010 dan 17 Jun 2011. Video-video ini menunjukkan lelaki tidak dikenali berbogel sebahagian atau sepenuhnya di bilik persalinan Gim California Fitness di Novena.
Polis turut menemui 13 video lelaki yang dirakam di gim yang sama pada 22 Februari 2014, yang diambil daripada Google Drive milik Woo, menjadikan jumlah keseluruhan video sebanyak 53.
Semasa di mahkamah semalam (26 Ogos), Woo mengaku bahawa dia sering berasa terdorong untuk merakam lelaki menarik di bilik persalinan atau kawasan mandi, setiap kali dia berjumpa dengan mereka.
Woo mengaku menonton klip-klip tersebut “untuk kepuasan peribadinya” tetapi mendakwa tidak berkongsinya dengan orang lain. Dia juga menyatakan video tersebut dimuat naik ke Google Drive kerana ruang simpanan telefonnya tidak mencukupi.
Woo mengaku bersalah atas tiga pertuduhan, termasuk voyeurisme (merujuk kepada perbuatan melihat orang lain yang tidak berpakaian, sedang melakukan aktiviti seksual, atau dalam situasi peribadi tanpa pengetahuan atau kebenaran mereka, bagi kepuasan seksual diri sendiri) dan membuat filem lucah di bawah Akta Filem, manakala tiga pertuduhan lain dipertimbangkan.
Pihak pendakwaan memohon hukuman penjara 27 hingga 31 minggu, dengan alasan terdapat “sifat lucah yang signifikan” kerana kemaluan mangsa dapat dilihat dalam beberapa klip.
Peguam Woo memohon hukuman penjara 22 hingga 25 minggu, dengan menyatakan bahawa anak guamnya telah bekerjasama dengan polis dan mengaku. Mereka juga berkata Woo, yang mula mengambil gambar lelaki sejak 2005, sukar mencari sesiapa untuk meluahkan perihal seksualitinya.
Peguam Woo berkata dia sedang mendapatkan rawatan dan berusaha untuk tidak mengulangi kesalahan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima bulan lima minggu, dan hukuman itu akan bermula pada 23 September.