Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan lapan individu, termasuk empat bergelar Datuk, dalam satu operasi besar-besaran membongkar skim pelaburan mencurigakan berkaitan syarikat Mobility Beyond Imagination (MBI), lapor NST.

Operasi dikenali sebagai Op Northern Star ini turut menyita dan membekukan aset bernilai RM3.17 bilion, menjadikannya antara kes penipuan pelaburan terbesar dalam sejarah negara.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, operasi ini dilancarkan hasil kerjasama rentas sempadan berdasarkan maklumat daripada Notis Merah Interpol pada 20 Mac lalu.

Datuk

“Kami percaya skim ini beroperasi sebagai skim pelaburan ala Ponzi yang berpusat di sebuah negara jiran. Sehingga kini, lapan rakyat Malaysia berumur antara 44 hingga 62 tahun telah ditahan,” jelasnya dalam satu kenyataan media.

Dua Peguam dan Dua Usahawan Bergelar Datuk

Antara yang ditahan ialah empat individu bergelar Datuk, termasuk dua peguam dan dua usahawan.

Kesemua suspek direman antara satu hingga tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 4(1) Akta Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Datuk

Operasi oleh Unit Anti-Pengubahan Wang Haram (AMLA) PDRM turut membawa kepada pembekuan 638 akaun bank dan saham bernilai RM1.1 bilion, serta rampasan:

  1. 35 hartanah (dianggarkan bernilai RM2 bilion)
  2. 10 kenderaan mewah
  3. 12 jam tangan bernilai tinggi
  4. Barang kemas, telefon bimbit, laptop, dan beg tangan jenama ternama
  5. Wang tunai dalam pelbagai mata wang asing dan tempatan

Razarudin mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati sebelum melabur dalam sebarang skim yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat.

Datuk

“Skim seperti ini sering menggunakan taktik ‘get rich quick’ untuk memerangkap mangsa. Kami menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan,” tegasnya.

Bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa, orang ramai dinasihatkan untuk menyemak status syarikat pelaburan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti (SC), elakkan tawaran pulangan luar biasa dalam tempoh singkat dan laporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berwajib.