Ketua jurulatih skuad Indonesia B-23, Gerald Vanenburg jelas tidak menghiraukan kelebihan dimiliki skuad kendaliannya dalam Kejohanan Piala ASEAN Bawah 23 Tahun (B-23) yang bakal berlangsung 15 hingga 29 Julai nanti.
Beraksi di laman sendiri, Indonesia dilabel oleh pengendali Vietnam, Kim Kang-sik sebagai pasukan yang mampu untuk menjadi juara edisi kelima ini.
Baca Juga:
- Piala ASEAN B-23: Kim Sang-sik Anggap Indonesia & Thailand Ancaman Terbesar Vietnam
- Piala Asia B-23: Iraq Tangguh Hajat Indonesia Ke Sukan Olimpik
- Piala Asia B-23: Kalah Kepada Qatar, Indonesia Hantar Surat Protes Kepada AFC
Ia bersandarkan kepada kelebihan bakal mendapat sokongan padu penyokong setia Indonesia dan kualiti baik dimiliki barisan pemain kendalian Vanenburg itu terutamanya dari aspek kepantasan dan fizikal.

Gerald Vanenburg Tak Peduli Pujian
Namun, Vanenburg tidak mahu dibuai dengan pujian menggunung tersebut, sebaliknya memfokuskan kepada satu demi satu perlawanan.
“Saya tidak berkata apa-apa tentang perkara itu [dilabel sebagai calon juara]. Apa yang saya boleh lakukan dengan perkara itu?”
“Kita harus memulakannya dengan memenangi perlawanan demi perlawanan untuk mara ke perlawanan akhir.”

“Dan sekiranya kami tidak menang, kami akan tersingkir daripada persaingan,” ujar Vanenburg menurut sumber laporan CNN Indonesia.
“Jadi, semua orang boleh berkata apa sahaja, saya sudah bermain banyak perlawanan sebelum ini, tetapi jika kita kalah, kita akan tersingkir. Jadi kita mesti menang setiap perlawanan.”
“Saya tidak peduli siapa lawan kita. Jika kita kalah, kita akan tersingkir. Jadi, fokus harus diberikan di situ. Dan semua orang akan bercakap, tetapi saya tidak peduli. Kerana saya perlu bersedia dengan pasukan saya sendiri,” tambah beliau lagi.