Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam mengesahkan sistem video bantuan pengadil (VAR) belum dapat digunakan untuk aksi final Piala Malaysia antara JDT menentang Terengganu pada 8 Disember ini.

Menurut laporan Berita Harian, sistem terbabit masih dalam fasa pengujian dan memerlukan masa sebelum dapat diimplementasikan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

Baca Juga:

“Kita tidak boleh tukar undang-undang secara tiba-tiba pada perlawanan akhir dan ia perlukan masa untuk diimplementasikan. Ia bukan seperti teknologi garisan gol (GLT) kerana VAR ini sangat subjektif dari segi permintaan.

“Liga teratas dunia yang menggunakan 24 kamera pun ada isu tersendiri. Jadi untuk memastikan liga kita bermula dengan lancar, latihan dan adaptasi sangat penting. Belum pun panas lagi, kita nak masukkan ke final Piala Malaysia.

“Perkara yang tepat untuk kita lakukan adalah untuk memastikan latihan, implementasi dan pengujian yang betul dapat dilakukan sebelum kita laksanakannya,” jelas Stuart.

FOTO: FAM

Ketika ini, sesi latihan VAR yang dikendalikan oleh pengadil tempatan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang berlangsung sebagai persediaan awal untuk dilaksanakan dalam Liga Malaysia musim depan.

Malah, sesi latihan fasa ke-3 itu turut disertai Instruktur VAR FIFA, Igor Radojcic dari Serbia bermula 29 November hingga 4 Disember 2023.

Latihan VAR tersebut telah disertai oleh 20 pengadil, 21 penolong pengadil dan 14 ‘replay operator’ di mana sesi latihannya tertumpu kepada perlawanan praktikal yang dijalankan di Padang Wisma FAM.

Enam instruktur FAM mengetuai sesi latihan itu iaitu C. Ravichandran , Kassim Kadir Bacha, Abdul Basith Shahul Hamid, Nagor Amir Noor Mohamed, Mohd Sabri Mat Daud dan M. Sivanesan di mana keenam-enam instruktur ini melakukan pemantauan dengan pengiktirafan dari FIFA.

VAR FAM
FOTO: FAM

Fasa ketiga latihan VAR ini merupakan fasa yang sangat penting kerana ia memberi pendedahan terhadap penggunaan teknologi VAR dalam perlawanan.

Sebanyak lima kamera digunakan dalam latihan VAR perlawanan praktikal ini dan ia menepati kriteria yang ditetapkan oleh FIFA.

Semua rakaman video sepanjang fasa ketiga ini yang melibatkan setiap pengadil, penolong pengadil dan ‘replay operator’ wajib di hantar ke FIFA melalui platform ‘Implementation Assistance and Approval Programme Requirements’ (IAAP).