Legenda Argentina, Juan Sebastian Veron menerima hukuman penggantungan selama enam bulan kerana dikatakan menjadi ‘mastermind’ kepada kontroversi ‘guard of honour’ ketika aksi Estudiantes menentang Rosario pada Ahad lalu.
Veron dan para pemain Estudiantes membantah keputusan menamakan Rosario sebagai ‘juara liga’ susulan perubahan peraturan oleh Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) minggu lalu.
Baca Juga:
- Wartawan Argentina Dakwa Ini Salinan Digunakan FIFA Sahkan Nenek Machuca Lahir Di Santa Fe Bukannya Malaysia

- ‘Bukan Lahir Pulau Pinang Tapi Santa Fe,’ – Portal Argentina Ini Dakwa Mereka Ada Maklumat Eksklusif Tentang Kelahiran Datuk Facundo Garces

- Idaman Para ‘Kolektor’, Argentina Keluarkan Syiling Khas Goal Of The Century Maradona Lawan England 1986

Sehubungan dengan itu, pemain Estudiantes bertindak membelakangi ‘guard of honour’ para pemain Rosario yang memasuki padang ketika aksi pusingan 16 terbaik kejohanan Clausura sebagai tanda protes.
Tindakan tersebut bagaimanapun tidak disenangi AFA yang kemudiannya mengumumkan hukuman diterima Veron selaku presiden kelab tersebut.
Sementara itu, para pemain yang dianggap telah ‘terlibat dalam tingkah laku yang tercela’ akan berdepan penggantungan perlawanan bermula musim hadapan.
Kenapa Veron Berang Dengan Keputusan AFA?
Liga divisyen teratas Argentina dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Apertura dan Clausura yang masing-masing mewakili fasa pembukaan dan penutup. Kedua-dua fasa itu kemudian disusuli dengan peringkat kalah mati.
Namun, menurut sumber laporan Sport Bible, pada awal bulan ini penganjur liga mencetuskan kontroversi apabila mengisytiharkan Rosario sebagai “juara liga” selepas pasukan itu mengumpul mata terbanyak merentas fasa Apertura dan Clausura.
Rosario menamatkan musim dengan 66 mata keseluruhan, empat mata lebih banyak berbanding Boca Juniors yang berada di tempat kedua.
Di bawah peraturan sebelum ini, pasukan yang mengumpul mata keseluruhan tertinggi hanya layak mendapat slot ke Copa Libertadores, iaitu setara Liga Juara-Juara di Amerika Selatan.
Walaupun gelaran “juara liga” itu mencetuskan kontroversi, Rosario tidak mengambil masa lama untuk meraikannya di media sosial dengan menulis: “Kami adalah pasukan terbaik tahun ini.”
Platense muncul juara Apertura awal tahun ini manakala saingan Clausura kini berada di peringkat suku akhir.
Pasukan Veron, Estudiantes menewaskan Rosario yang diwakili Angel Di Maria pada pusingan 16 terbaik dan kini bakal berdepan Central Cordoba di suku akhir pada Sabtu.
Final dijadualkan berlangsung pada 13 Disember dan ia akan disusuli dengan satu perlawanan penentuan antara juara Apertura dan juara Clausura bagi merebut Trofi Juara Akhir Tahun.
Yang menghairankan, gelaran “juara liga” yang diberikan kepada Rosario hadir dalam situasi di mana mereka gagal memenangi kedua-dua play-off Apertura mahupun Clausura.