Peminat kumpulan alternative rock di Malaysia bakal disajikan dengan malam penuh nostalgia apabila band terkenal dari Amerika Syarikat, Vertical Horizon, mengumumkan konsert mereka di Kuala Lumpur pada tahun ini.
Konsert tersebut dijadualkan berlangsung pada 22 Mei 2026 di Zepp Kuala Lumpur dan dibawakan oleh penganjur konsert tempatan, Hitman Solutions.
Ini juga menandakan kepulangan band ini ke Malaysia selepas 12 tahun, sejak kali terakhir mereka membuat persembahan di negara ini pada 2014. Kumpulan ini diterajui oleh vokalis dan gitaris utama, Matt Scannell dan disertai barisan pemuzik berpengalaman John Wesley (gitar & vokal latar), Ron LaVella (Drum) dan Mark Pacificar (bass & vokal latar).
Vertical Horizon Kembali Gegarkan Kuala Lumpur
Sejak kemunculan mereka pada akhir 1990-an, Vertical Horizon dikenali sebagai antara band yang mempopularkan melodic alternative rock dengan lagu-lagu yang mudah diingati dan sarat emosi.
Konsert di Zepp Kuala Lumpur ini dijangka menjadi peluang terbaik untuk peminat tempatan merasai pengalaman mendengar lagu-lagu klasik mereka secara live.
Antara lagu popular yang dijangka menjadi highlight persembahan termasuk Everything You Want, Best I Ever Had (Grey Sky Morning) dan banyak lagi.
Lagu Everything You Want sendiri pernah menjadi antara lagu paling kerap dimainkan di radio sekitar tahun 2000 dan terus kekal sebagai salah satu lagu rock ikonik era tersebut.
Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Group, Rohit Rampal, konsert ini merupakan peluang untuk membawa semula pengalaman muzik antarabangsa kepada peminat tempatan.
Beliau menyatakan bahawa band tersebut pernah membuat persembahan di Malaysia sebelum ini, dan pihak penganjur berbesar hati dapat membawa mereka kembali ke pentas tempatan pada tahun ini.
Bagi peminat yang ingin menyaksikan konsert ini, tiket akan mula dijual pada: 26 Mac 2026 bermula 12 tengah hari. Tiket boleh dibeli melalui laman web rasmi www.hitmanlive.com.