Satu insiden luar biasa berlaku melibatkan Neymar ketika aksi Santos menentang Coritiba apabila bintang Brazil itu dilaporkan diganti secara tidak sengaja akibat kekeliruan dalam proses pertukaran pemain. Santos akhirnya tewas 0-3 dalam perlawanan tersebut.
Kejadian berlaku ketika Neymar berada di luar padang menerima rawatan selepas mengadu ketidakselesaan pada bahagian betis. Pada waktu sama, Robinho Jr. sedang bersedia untuk dimasukkan ke dalam permainan.
Menurut Santos, pemain yang sepatutnya dikeluarkan ialah Gonzalo Escobar, pemain bernombor 31. Namun pegawai keempat secara mengejut mengangkat papan pertukaran memaparkan nombor 10 milik Neymar.
Disebabkan nombor Neymar diumumkan, Robinho Jr. terus memasuki padang manakala Escobar kekal berada dalam permainan.
Ketika Neymar cuba masuk semula untuk menjelaskan kekeliruan tersebut, dia tidak dibenarkan berbuat demikian kerana secara teknikal pertukaran sudah dianggap selesai. Neymar turut menerima kad kuning selepas masuk semula ke padang tanpa kebenaran.
Paling mencuri perhatian, Neymar kemudian mengambil kertas pertukaran pemain dan menunjukkannya ke arah kamera sebagai bukti bahawa dia langsung bukan pemain yang sepatutnya dikeluarkan. Rakaman itu segera tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi penyokong bola sepak.
Neymar benar benar kecewa kerana dia bintang utama Santos. Ketika insiden itu pasukannya sedang ketinggalan 0-3 di belakang Cortiba.
@futtpedrin Neymar angry with the referee 💀🔥 #neymar #football #edit #viral Neymar today | Neymar vs Coritiba today
Insiden itu hadir pada waktu yang cukup malang buat Neymar. Perlawanan tersebut merupakan aksi terakhirnya sebelum pengumuman skuad akhir Brazil oleh Carlo Ancelotti untuk Piala Dunia, menjadikan setiap minit di atas padang cukup penting buat pemain berusia 34 tahun itu.
Bagaimanapun, laporan selepas perlawanan menambah lagi kontroversi apabila pengadil mendakwa berlaku salah komunikasi daripada pihak Santos sendiri, yang didakwa mengesahkan Neymar sebagai pemain yang mahu dikeluarkan.
Apa pun puncanya, situasi pemain diganti secara tersilap dalam perlawanan profesional merupakan sesuatu yang jarang berlaku — lebih-lebih lagi melibatkan nama sebesar Neymar.
Santos kalah dalam perlawanan tersebut. Namun insiden itu telah menarik perhatian dunia.